SMK Dong, Raub muncul sekolah terbaik STPM 2019 di Pahang
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, Raub mengekalkan prestasi cemerlang apabila dinobatkan sebagai sekolah terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2019 di Pahang dengan Gred Purata Sekolah 3.39 mata.
Kecemerlangan sebagai sekolah mendapat GPS tertinggi itu dilakar enam tahun berturut-turut sejak 2014.
SMK Triang, Bera pula muncul sebagai sekolah dengan calon mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 paling ramai dengan lapan calon, manakala SMK Seri Jengka dinobatkan sebagai sekolah paling cemerlang pencapaian 4P.
Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata, daripada 2,326 calon sekolah kerajaan yang mengambil peperiksaan itu di negeri ini tahun lalu, 62 calon atau 2.66 peratus mendapat keputusan tertinggi dengan PNGK 4.0 dan 43 daripadanya lulus penuh lima mata pelajaran.
Menurutnya, keputusan itu meningkat sebanyak 0.78 peratus berbanding tahun 2018.
"Calon orang asli dari SMK Kuala Lanar, Lipis, Aimi Mahad dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM 2019 peringkat Pahang.
"Beliau yang mendapat PNGK 3.84 juga turut dinobatkan sebagai calon terbaik STPM 2019 peringkat kebangsaan bagi kategori calon orang asli," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!