Penyanyi Loo Soo Wei maut nahas jalan raya
KUANTAN - Seorang penyanyi wanita maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 88, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan petang semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Loo Soo Wei, 49, dari Taman Bukit Setongkol di sini tersepit dalam keretanya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler, Johar Omar, 39, dari Bandar Tun Razak dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Axia dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Segamat.
Menurutnya, treler membawa muatan sawit itu pula dari arah bertentangan.
"Hasil siasatan awal, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang memandu bersendirian gagal mengawal kereta dipandunya lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.
"Pemandu treler gagal mengelak lalu terlanggar kereta mangsa dan terseret hingga ke kanan jalan sebelum melanggar tiang elektrik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Kamarulzaman berkata, akibat kejadian itu, treler berkenaan terbalik dan muatan sawit yang jatuh di atas jalan menghalang laluan.
"Punca nahas masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu pihak bomba memaklumkan, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah bersama dua jentera ke lokasi kejadian untuk bantuan menyelamat.
Bomba bertindak mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!