Lebih baik berjuang daripada bekerjasama dengan DAP
KUANTAN - Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menyatakan bahawa lebih baik kembali berjuang dalam pilihan raya daripada bekerjasama dengan DAP di bawah pemerintahan kerajaan baharu.
Shahaniza berkata, sudah terlalu banyak kerosakan dilakukan pemimpin DAP sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Menurutnya, UMNO Bahagian Maran menyokong keputusan kepimpinan Muafakat Nasional bagi pembentukan kerajaan tanpa DAP.
"Kita tiada pilihan, dari bekerjasama dengan DAP, lebih baik kita kembali berjuang habis-habisan melalui pilihan raya segera.
"Buat masa ini, kita serah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Kita doa yang terbaik," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya hari ini.
Shahaniza berkata, siapa yang tidak mahu ambil alih kuasa pemerintahan selepas kerajaan PH berjaya menumbangkan kerajaan terdahulu, namun bukan pangkat yang dicari dalam gabungan bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi demi kepentingan rakyat.
"Jadi, Muafakat Nasional menolak kerajaan perpaduan apabila Dr Mahathir turut mahukan DAP bersama. Saya berpendapat mana mungkin kita bersama-sama dengan mereka (DAP)," katanya.
Beliau berharap semoga ALLAH merahmati memberikan kejayaan kepada Muafakat Nasional umat Islam serta rakyat Malaysia seluruhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!