Adly minta rakyat bertenang, sabar
MELAKA TENGAH - Ketua Menteri, Adly Zahari meminta rakyat di negeri ini bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang berita tidak benar susulan kemelut politik yang melanda negara.
Sehingga kini Adly berkata, pentadbiran negeri masih berjalan seperti biasa dan yakin setiap Exco juga menggalas tanggungjawab yang diberikan tanpa sebarang masalah.
Menurutnya, pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebelum mesyuarat Exco untuk memaklumkan mengenai perkembangan pentadbiran di peringkat negeri termasuk isu-isu berbangkit.
"Kebanyakannya tentang pembangunan negeri dan isu-isu yang berbangkit di peringkat negeri juga memaklumkan perkembangan politik kepada Yang Dipertua.
"Harap masyarakat bertenang dengan suasana politik negara.
"Di peringkat negeri, saya juga mengharapkan pentadbiran negeri akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Terdahulu, kira-kira 500 orang dari badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun bagi menzahirkan solidariti untuk mempertahan dan mengekalkan kepimpinan Adly di luar pekarangan kompleks tersebut hari ini.
Adly yang sempat meluangkan masa lebih kurang 5 minit turut mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan semua pihak kepada kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya NGO-NGO yang hadir pada perhimpunan aman tersebut.
Dalam pada itu, pertemuan bersama Yang Dipertua negeri yang berlangsung kira-kira sejam itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hassan sebelum Adly mempengerusikan mesyuarat Exco pada jam 11 pagi ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!