'Syed Saddiq, Armada Bersatu jangan bajet acah suci'
KUALA LUMPUR - Kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan prinsip Perdana Menteri Interim tidak akan bekerjasama dengan UMNO disifatkan sebagai pendirian 'bajet acah suci'
Melalui hantaran pada laman sosial Facebook peribadi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak berterusan mengecam pendirian sayap pemuda Bersatu itu dan membidasnya kerana selalu mengambil jalan mudah dengan menyalahkan UMNO di atas setiap tindakan parti itu.
Menurutnya, Syed Saddiq sepatutnya mendengar dahulu penjelasan diberikan Majlis Tertinggi Bersatu yang mengemukakan persetujuan untuk keluar Pakatan Harapan (PH) sebelum menuding jari kepada UMNO.
"Armada dengan Syed Saddiq ni sembang apa? Tak payahlah 'bajet acah suci', baik.
"Korang (kamu semua) tengok dan dengar sendiri. Mesyuarat Tertinggi PPBM (Bersatu) setuju keluar PH. Last-last salah UMNO," katanya.
Hantaran Najib itu menerima pelbagai reaksi lebih 9,400 pengguna alam maya dalam tempoh dua jam dengan 482 perkongsian sudah dilakukan.
Sindiran pedas Najib terhadap Syed Saddiq susulan beliau dan Armada Bersatu mengambil ketetapan mempertahankan pendirian berprinsip Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak akan bekerjasama dengan UMNO.
Syed Saddiq berkata, sayap Bersatu itu tidak akan bekerjasama dengan parti di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, ia kerana isu rasuah, salah guna kuasa dan kes rasuah yang berjalan di mahkamah membabitkan pimpinan tertinggi parti itu.
"Armada juga mengambil ketetapan mempertahankan mandat diberi rakyat pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya ketika ditanya mengenai sebab parti itu mengumumkan keluar PH menjelaskan keputusan itu dibuat Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dipersetujui Majlis Tertinggi parti.
Beliau memberi penjelasan itu kepada media selepas mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Petaling Jaya, kelmarin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!