Covid-19: 66 selamat tiba di pusat pemantauan
SEPANG - Seramai 66 individu terdiri daripada warga Malaysia dan pasangan serta anak bukan warganegara, yang tiba di tanah air dari Wuhan, China, pagi ini, kini ditempatkan di Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) untuk proses kuarantin selama 14 hari.
Jumlah itu terdiri daripada 46 rakyat Malaysia dan 20 pasangan dan waris bukan warganegara adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang terkandas di Wuhan, wilayah Hubei, susulan penularan koronavirus (Covid-19) sejak akhir Disember lalu.
Turut ditempatkan di Pusat Pemantauan itu adalah sembilan petugas misi dan 12 kru penerbangan serta dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sehingga keputusan ujian calitan diketahui.
Dua buah bas pertama yang membawa mereka tiba di Akept pada jam 9.50 pagi, manakala dua lagi bas tiba 40 minit kemudian dengan diiringi kenderaan pengiring polis ke kawasan yang menjadi fasiliti kuarantin, terletak kira-kira 24 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Terdahulu, kesemua mereka melalui tapisan kesihatan di United Kecemasan Udara (ADU) sebelum dihantar ke Akept.
Kesemua mereka merupakan kumpulan kedua tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Wuhan pada jam 6.50 pagi dengan menaiki penerbangan khas pesawat AirAsia.
Sebaik mendarat, mereka menjalani proses dekontaminasi sebelum dibawa ke ADU untuk tapisan kesihatan yang berlangsung sehingga jam 9.55 pagi sebelum menaiki bas untuk dihantar ke Pusat Pemantauan.
Di Akept, keempat-empat bas yang membawa kesemua mereka dilihat menuju ke sebuah bangunan di bahagian belakang pusat itu dan semua penumpang dilihat memakai penutup hidung dan mulut.
Kesemua penumpang disambut dan diiringi oleh petugas kesihatan memasuki tempat penginapan masing-masing.
Sepanjang berada di Pusat Pemantauan, perhubungan mereka terhad kepada petugas kesihatan dan tiada perhubungan dengan pihak luar dibenarkan termasuk ahli keluarga.
Saringan kesihatan akan dilakukan dua kali sehari bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan.
Lokasi pusat pemantauan itu dikawal ketat oleh pasukan keselamatan dan petugas media dibenarkan berada kira-kira dalam lingkungan 450 meter dari pintu masuk utama fasiliti itu.
Ini merupakan misi bantuan kemanusiaan kedua digerakkan kerajaan Malaysia dalam usaha membawa pulang warganegara Malaysia di Wuhan selepas misi pertama berjaya dilaksanakan pada 4 Februari lalu.
Setakat semalam, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kekal 22 kes dan 20 orang telah pulih setakat ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!