'Bubar Parlimen langkah terbaik selesai kemelut politik'
KUALA TERENGGANU - Cadangan pembubaran Parlimen dengan memberikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang melanda negara.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, langkah itu dilihat dapat menyelesaikan kemelut politik secara adil dan sekali gus memulihkan maruah negara.
"Pembubaran Parlimen seperti dituntut Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) adalah langkah terbaik bagi membaiki semula ketidakstabilan politik Malaysia berpunca daripada Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
"Apa yang berlaku sebelum ini jelas memperlihat kewujudan kerajaan perpaduan bersama DAP sebagai malapetaka besar kepada Malaysia dalam tempoh 21 bulan PH memerintah sekali gus membuktikan DAP tidak layak mengemudi negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sejak pemerintahan PH, maruah negara tergadai apabila aset strategik bernilai lebih RM30 bilion dijual dengan sesuka hati.
"Banyak masalah yang timbul setelah mereka memerintah negara, adakah kita mahu dipimpin sekali lagi oleh sebuah parti yang rasis dan cauvanis sehingga memecah-belahkan negara.
"Membentuk kerajaan bersama DAP ibarat memikul biawak hidup dengan pelbagai masalah yang diwujudkan pemimpin DAP seperti menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), komunis, peguam negara yang tidak adil dan pelbagai lagi masalah.
"Inilah sifat sebenar DAP yang rakyat Malaysia harus ingat. DAP tidak langsung mempunyai semangat patriotisme dan hanya mahir menyebarkan kebencian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum demi kepentingan politik mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!