300 orang asli bantah mansuh hutan simpan
SHAH ALAM - Kira-kira 300 masyarakat orang asli yang tinggal berhampiran Hutan Simpan Kuala Langat Utara hadir ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) hari ini bagi menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan negeri.
Memorandum disampaikan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah.
"Kami dah menetap di sini sejak 1845 lagi dan cadangan untuk memansuhkan status hutan simpan ini hanya akan memusnahkan entiti masyarakat orang asli di sini," katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan di Bangunan SSAAS di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rahman berkata, memorandum bantahan yang dihantar itu melibatkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan enam ketua kampung orang asli.
"Kami berharap agar menteri besar dapat mempertimbangkan bantahan kami ini kerana hutan simpan itu menjadi sumber rezeki kami untuk mencari herba dan pendapatan harian," katanya.
Dalam pada itu, Borhan berkata, kerajaan negeri sentiasa membuka ruang kepada seluruh masyarakat bagi menyuarakan pandangan dan cadangan masing-masing berhubung isu itu.
Katanya, cadangan dan bantahan yang diterima akan diangkat semula oleh kerajaan negeri untuk dibincangkan dengan lebih lanjut.
"Kerajaan Selangor sentiasa membuka ruang seluas-luasnya kepada mana-mana pihak untuk menyatakan bantahan dan pandangan masing-masing," katanya.
Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar menyuarakan bantahan terhadap cadangan nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang bertentangan dengan hasrat kerajaan Pusat untuk memelihara hutan simpan.
Bantahan turut disuarakan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) susulan hutan itu kaya dengan sumber biodiversiti unik termasuk spesies tupai pygmy yang hanya boleh ditemui di kawasan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kawasan baharu ganti Hutan Simpan Kuala Langat Utara
MB Selangor jangan gopoh, pesan Otai Reformis 98
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!