Melaka masih di bawah PH
MELAKA TENGAH - Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka menegaskan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Melaka masih bersama Pakatan Harapan (PH).
Ini berikutan 13 kerusi PH dan dua kerusi Bersatu di negeri itu belum membuat sebarang keputusan walaupun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar daripada PH.
Timbalan Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, selagi belum ada wakil rakyat dari PH yang mengumumkan keluar parti itu termasuk tidak ada yang menyatakan sokongan terhadap pembangkang, kerajaan Melaka kekal seperti biasa.
"Maka kita kekal dengan keadaan sekarang dan sebab itu, Ketua Menteri, Adly Zahari masih bekerja seperti biasa dan hari ini pun kita ada mesyuarat Exco.
"Tidak ada yang istimewa dan beliau berjumpa Yang Dipertua perkara biasa sahaja, jadi saya yakin bahawa kita masih kekal dan stabil sehingga ke saat ini," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Mohd Sofi yang juga ADUN Durian Tunggal berkata, kerusi PH negeri masih kekal 15 dan belum ada mana-mana wakil rakyat PH yang menyatakan pendirian mereka tidak lagi mahu menyokong kepimpinan Ketua Menteri.
Dalam perkembangan sama, ADUN Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin yang dikatakan sebagai penyokong kuat kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menyatakan sokongannya terhadap kepimpinan Adly.
Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar itu yang juga Ketua Wanita PKR negeri juga secara terbuka memberitahu beliau tiada masalah untuk terus bersama PKR.
"Ini adalah mandat yang diberikan kepada saya daripada parti, seterusnya saya dapat mandat daripada rakyat untuk berkhidmat sebagai ADUN dan juga Exco.
"Saya akan laksanakan tugas ini sampai tempoh yang saya kena pulangkan mandat ini semula kepada rakyat ataupun parti," katanya.
Dalam pada itu, beberapa wakil rakyat PH dilihat masuk ke Seri Negeri untuk menghadiri mesyuarat Exco termasuk ADUN Gadek, G Saminathan yang baru dibebaskan dari pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Bagaimanapun dua wakil rakyat iaitu ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR) dan ADUN Paya Rumput, Datuk Rafiq Naizamohideen (Bersatu) tidak kelihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!