Polis lupus VCD, DVD bernilai RM2.06 juta
GEORGETOWN - Polis melupuskan sebanyak 369,737 keping cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak bernilai RM2.06 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Narenasagaran Thangavelu berkata, kesemua VCD dan DVD cetak rompak itu dirampas dalam Ops Ostrich yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang sejak 2006 sehingga 2017.
Menurutnya, kesemua barang kes berkenaan termasuk dokumen dan barang am yang dilupuskan itu telah selesai menjalani kes mahkamah dan suspek yang ditahan telah dijatuhi hukuman.
"Pemusnahan barang-barang kes ini dibuat bagi mengurangkan kesesakan di stor barang kes berpusat termasuk di stor barang kes di JSJK di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan daerah.
"Kesemua barang kes ini melibatkan 302 kertas siasatan yang telah selesai prosiding di mahkamah dan dilupuskan menggunakan jentera penggelek untuk VCD dan DVD manakala bagi dokumen akan dilupuskan menggunakan 'paper shredder'," katanya pada majlis pemusnahan barang-barang kes JSJK di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.
Hadir sama, Pemangku Ketua JSJK Pulau Pinang, Superintenden Mohd Zuhairi Hamzah dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong.
Narenasagaran berkata, pihak JSJK Pulau Pinang akan terus melakukan Ops Ostrich secara berterusan bagi melumpuhkan sindiket penjualan VCD dan DVD cetak rompak.
Katanya, sasaran utama ditumpukan di gerai jualan di tepi jalan, pasar malam, pasar awam dan juga kedai-kedai yang telah dikenal pasti.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita mendapati aktiviti penjualan VCD dan DVD cetak rompak telah berkurangan secara mendadak disebabkan kurangnya permintaan di pasaran.
"Keadaan ini berlaku disebabkan wujudnya kemudahan untuk memuat turun filem melalui internet dan kita akan terus melakukan tindakan penguatkuasaan yang berterusan bagi mengekang aktiviti haram ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!