Henti sebar video, gambar ustazah merangkak!
BAGAN DATUK - Saya rayu hentikan sebar gambar isteri saya. Semuanya dah selesai, luah suami wanita yang dikaitkan dengan penyebaran video menunjukkan seorang ustazah merangkak di dalam kelas baru-baru ini.
Dia yang enggan dikenali berkata, kejadian dalam video tersebut berlaku minggu lalu, namun baru ditularkan.
Katanya, pertemuan bersama ustazah tersebut telah dibuat dan perkara tersebut sudah diselesaikan dengan cara baik.
"Kami sekeluarga tertekan dengan pelbagai fitnah dan tuduhan tidak benar mengenai kejadian itu.
"Saya dan isteri sudah membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tentang buli siber yang dikenakan ke atas kami sekeluarga," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya dalam lawatan bersama Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Bagan Datuk, Ezatul Farita Rohawi di Sungai Sumun di sini hari ini.
Beliau berkata, semua pihak tidak perlu mengeruhkan keadaan dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan sebarang tindakan.
Terdahulu, video berdurasi dua minit 17 saat itu telah tular di laman sosial semalam mencetuskan pelbagai kecaman netizen.
ARTIKEL BERKAITAN: Paksa ustazah merangkak tindakan kurang ajar!
Sementara itu, ustazah berkenaan yang dihubungi media menjelaskan perkara tersebut telah selesai.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas tentang kejadian tersebut.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kejadian yang berlaku di sebuah sekolah agama rakyat di Parit 15, Sungai Sumun di sini sudah pun diambil tindakan.
Katanya, kedua-dua pihak sudah pun mengambil jalan damai dan menghentikan isu berkenaan.
"Jadi saya minta semua pihak hentikan sebarang penyebaran video, gambar dan maklumat tidak sahih tentang kejadian itu.
"Pihak JAIPk sudah pun mengambil tindakan sewajarnya berkaitan kejadian tersebut," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu ustazah merangkak: Wanita tampil mohon maaf
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!