8 bulan terlantar akibat tumor
KUANTAN – Seorang wanita hanya terlantar dan tidak mampu menguruskan diri sendiri di rumahnya di Semambu di sini sejak disahkan mempunyai tumor dalam kepala lapan bulan lalu.
S Parawadi, 56, juga hanya mampu mendengar suara orang ramai berhampirannya tanpa memberi respons akibat penderitaan ketumbuhan yang terdapat di bahagian kanan kepalanya.
Anak ke empat Parawadi yang hanya mahu dikenali sebagai Grace, 35, berkata, penyakit ibunya itu diketahui tanpa sebarang simptom malah tidak sedar dan tidak mampu berjalan lagi selepas menjalani pembedahan di bahagian kepala Mei tahun lalu.
“Begitulah keadaannya. Tidak sedar, tidak mampu berjalan dan menguruskan diri sendiri. Dia hanya minum susu menerusi tiub dan guna lampin pakai buang.
“Pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad saya menjaganya sepenuh masa. Tapi pada hari bekerja, adik-beradik bergilir-gilir menjaganya,” katanya yang bekerja sebagai kerani di Gebeng.
Menurutnya, mereka tinggal bersamanya sejak bapanya meninggal dunia empat tahun lalu dan rawatan ibunya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) turut diuruskan satu ke dua kali sebulan.
Sementara itu, penderitaan Parawadi mendapat perhatian Adun Semambu, Lee Chean Chung yang turut menziarahi keluarga tersebut, semalam.
Dalam kunjungan itu, Chean Chung memberikan sumbangan berbentuk barangan dapur untuk meringankan beban keluarga selain berjanji akan memberikan bantuan dari segi mempercepatkan urusan berkaitan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kita akan lihat apa yang boleh dibantu iaitu dari segi urusan dengan JKM. NGO juga berikan sokongan seperti katil dan tilam khas pesakit.
“Keperluan lain yang dilihat ialah bantuan susu dan lampin pakai buang dan pada masa yang sama pesakit dan keluarga memerlukan sokongan emosi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!