Pakej rangsangan ekonomi akan diumumkan esok
KUALA LUMPUR - Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dinanti-nantikan akan diumumkan seperti yang dijadualkan oleh Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad pada jam 4 petang esok di Putrajaya.
Jemputan media daripada Kementerian Kewangan mengesahkan acara itu.
Terdahulu, Dr Mahathir menulis di Twitternya bahawa beliau telah menghadiri mesyuarat dengan pegawai-pegawai tertinggi Kementerian Kewangan berhubung pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi tersebut.
Pakej itu bertujuan untuk merangsang ekonomi Malaysia dan mengurangkan sebarang kesan buruk yang timbul berikutan penularan koronavirus (Covid-19) dan ketidaktentuan luaran yang lain.
Bantuan ekonomi itu dirangka terutamanya untuk sektor penerbangan, peruncitan dan pelancongan untuk mengurangkan kesan buruk daripada jangkitan koronavirus, yang berasal dari Wuhan, China. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!