MBDJB lapor polis isu kutip derma anjur program
JOHOR BAHRU - Majlis Belia Daerah Johor Bahru (MBDJB) menafikan pihaknya membuat sebarang kutipan derma bagi penganjuran program mereka.
Ia susulan MBDJB berjaya mengesan kegiatan tidak bertanggungjawab dilakukan seorang individu menggunakan kepala surat badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Pengerusi MBDJB, Mohammad Sidek Roslan berkata, surat dikeluarkan itu adalah palsu dan tidak pernah mendapat kebenaran daripada pihaknya.
Katanya, selain daripada menggunakan nama MBDJB, aktiviti itu turut mengaitkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
"Pihak kami amat memandang serius mengenai isu kutipan dana ini dan menafikan tindakan individu tersebut.
"Kami juga meminta kepada orang awam yang didatangi atau menerima sebarang permohonan kutipan sumbangan ini untuk membuat segera membuat laporan polis," katanya, semalam.
Mohammad Sidek berkata, pihaknya juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini dan berharap tindakan tegas dapat diambil.
"Ini satu isu serius, kami percaya perbuatan ini juga dilakukan untuk kepentingan peribadi," katanya.
Beliau berkata, penularan dan kegiatan aktiviti kutipan palsu itu berjaya dikesan apabila pihaknya sendiri menerima surat berkenaan menerusi aplikasi sosialnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!