Tebrau City BC mara pusingan akhir
KEMENANGAN kedua Kelab Badminton (BC) Tebrau City dalam saingan peringkat kedua SS Purple League (SSPL) Kumpulan B di Gem In Mall hari ini setelah menumpaskan Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) 15-4 selepas menang ke atas Kepong BC 12-6 semalam mengesahkan kedudukan pasukan itu ke pusingan akhir SSPL.
Biarpun kedudukan akhir hanya diketahui esok, namun kutipan mata menyaksikan Tebrau City BC di kedudukan ketiga liga akan kekal berada dalam kelompok enam teratas liga sekaligus mara ke pusingan akhir SSPL.
Penolong Pengurus Tebrau City BC, Lim Kenn berkata, “Saya berasa lega dan gembira kerana sudah tentu akan masuk ke peringkat akhir SSPL berdasarkan kedudukan sekarang. Kami memang mensasarkan kedudukan enam terbaik sebelum liga bermula.
“Tekanan sudah kurang kerana kami sudah pasti layak biarpun kedudukan terakhir hanya akan ditentukan dalam aksi terakhir peringkat kedua esok. Apapun, saya gembira kerana sasaran sudah dicapai,” kata Lim.
Tebrau City BC mendahului hasil kemenangan acara perseorangan lelaki dicatatkan pemainnya, R Satheistharan. Dia menang 3-1 (7-11, 11-9, 11-5, 11-8) menewaskan pemain BMASBC, Riyanto Subagja.
Tebrau City BC terus berada di depan apabila turut menang dalam acara perseorangan wanita apabila Rusydina Antardayu menang 3-0 (11-7, 11-10, 11-5) ke atas Lim Jing Ning bagi menjarakkan kedudukan semasa kepada 6-1.
Kemenangan terus dilakar oleh Tebrau City BC dalam acara beregu lelaki selepas itu apabila gandingan Low Hang Yee- Ng Eng Cheong menundukkan Sim Fong Hau- V. Roobenraj 3-2 (11-9, 11-7, 9-11, 10-11, 11-6). Kemenangan itu membolehkan Tebrau City BC di depan 9-3.
Penguasaan pasukan dari Johor itu semakin sukar dihalang apabila mereka terus memenangi acara beregu campuran melalui pemainnya, Soong Fie Cho- Tan Jinn Hwa yang menundukkan Tiara Rosalia- Agrippina Primarahmanto 3-1 (7-11, 11-8, 11-8, 11-10). Kemengan itu membawa Tebrau City BC selesa di depan 12-4 mendahului perlawanan.
Yeoh Seng Zoe memastikan kemenangan mutlak Tebrau City BC apabila dia menang 3-1 (11-8, 11-4, 11-8) ke atas Lucas Corvee dalam satu lagi acara perseorangan lelaki sekaligus meletakkan pasukannya semakin cerah ke pusingan akhir SSPL.
Dalam Kumpulan B pula menyaksikan finalis tahun lalu, Kepong BC bakal membuat perhitungan bersama dua pendatang baru, Bukit Mertajam All Stars BC dan Tebrau City BC.
Keenam-enam pasukan di peringkat kedua SSPL akan menentang lawan dalam kumpulan masing-masing dan kutipan set kemenangan (games won) di peringkat kedua akan ditambah dengan jumlah set kemenangan yang diraih semasa peringkat pertama.
Daripada itu, empat pasukan yang berjaya menempatkan diri di ranking ke-3 hingga ke-6 akan mengiringi Ampang Jaya BC dan Puchong United BC untuk beraksi di pusingan akhir SSPL.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!