PH calonkan Anwar sebagai PM bukti Dr Mahathir dikhianati

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan sebulat suara ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kelapan akhirnya membongkar sikap sebenar mereka yang mengkhianati dan mempergunakan Tun Dr Mahathir Mohamad demi kepentingan politik.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakob berkata, perkara yang dilakukan Anwar dan ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan parti Amanah Negara (Amanah) jelas menunjukkan sokongan mereka terhadap Dr Mahathir yang kini Perdana Menteri Interim sebenarnya bukanlah seratus peratus.

“Sokongan diberikan selama ini tidak sepenuhnya kerana berlaku permainan politik yang cukup besar dalam kalangan ahli Parlimen PH yang seolah-olah menggunakan Dr Mahathir demi kepentingan politik mereka.

“Tidak logik hanya kerana Dr Mahathir tak hadir sekali pada mesyuarat Majlis Presiden PH semalam maka terus berlaku penukaran calon Perdana Menteri.

“Bagaimana kita nak lihat satu kesetiaan kepada Dr Mahathir? Sedangkan mereka sebelum itu sungguh-sungguh memujuk untuk bekas Pengerusi Bersatu itu kembali menjadi Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dr Mohammad Tawfik
Dr Mohammad Tawfik

Pada 24 Februari lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengesahkan bahawa mereka menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan akan membawa syor itu ke mesyuarat Majlis Presiden PH.

Bagaimanapun, Majlis Presiden PH menetapkan calon Perdana Menteri adalah Anwar sebelum keputusan itu diumumkan dalam satu sidang media petang tadi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: PH sepakat calon Anwar sebagai Perdana Menteri

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik yang juga Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM) berkata, keputusan Anwar dan ahli-ahli Parlimen PH itu sudah boleh dibaca oleh Dr Mahathir bahawa beliau dan peranannya dipergunakan bagi mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan di Sabah.

“Apa yang dilakukan Dr Mahathir menerusi perutusan khas hari ini (semalam) untuk tidak melibatkan ahli politik dalam pentadbiran kerajaan dalam tempoh terdekat merupakan satu tindak balas cukup keras dan isyarat jelas kepada semua ahli Parlimen PH agar tidak menguji kesabarannya sebagai pemimpin.

“Di peringkat awal mereka bersungguh-sungguh melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri tapi hanya kerana tidak hadir sekali mesyuarat, perubahan terus dilakukan dengan serta-merta,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!