Hak waris paling terakhir
Dalam Islam ada hukum hakam yang digariskan dengan garis panduan umum sahaja seperti hal-hal yang berkaitan dengan bab muamalat harta (bab jual beli dan kontrak-kontrak lain). Ada juga hukum hakam yang telah ditentukan secara terperinci seperti dalam bab ibadah dan bab pusaka.
Penjelasan tentang hukum hakam pusaka disebut secara terperinci dalam al-Quran iaitu dalam Surah al-Nisa’, ayat 11, 12 dan 176. Selain dalam al-Quran, hukum hakam pusaka juga dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW.
Apakah waris-waris wajib mengikut ketetapan yang telah ada dalam al-Quran dan Hadis iaitu wajib ikut faraid? Atau adakah ruang di sana untuk sama-sama bermuafakat dan memutuskan pembahagian harta pusaka mengikut persetujuan bersama-sama.
Islam adalah agama rahmah. Agama yang mudah. Agama yang diturunkan oleh ALLAH SWT untuk kebaikan dan maslahat hamba-Nya. Sebenarnya membuat pembahagian harta pusaka mengikut hukum faraid hanya WAJIB apabila ada antara ahli waris yang berhak ke atas harta pusaka berkenaan menuntut pembahagian berdasarkan hukum faraid.
Meskipun majoriti setuju pembahagian dibuat secara muafakat tetapi jika ada walau seorang sahaja yang tidak bersetuju, maka ketika itu pembahagian pusaka berdasarkan hukum faraid menjadi wajib. Ini bermakna, harta pusaka hanya boleh dibahagikan mengikut persetujuan bersama atau secara muafakat apabila keseluruhan ahli waris memberikan persetujuan.
Satu perkara yang ahli waris wajib tahu ialah sebelum mereka boleh menuntut hak ke atas harta peninggalan si mati, ada hak-hak lain yang wajib dipenuhi terlebih dahulu. Sebenarnya jika ikut susunan hak, hak waris ini berada pada kedudukan paling kemudian sekali. Maknanya, mereka tidak boleh ambil apa-apa daripada harta peninggalan si mati SEBELUM hak-hak yang duduk di atas daripada hak waris diselesaikan.
Susunan hak ke atas harta pusaka adalah seperti berikut:
1. Kos pengurusan jenazah
2. Bayaran hutang sama ada hutang dengan ALLAH seperti zakat atau hutang dengan manusia (jika ada)
3. Tunaikan wasiat (jika ada)
4. Hak waris
Jadi semua waris perlu sedar, ALLAH tidak letakkan mereka paling atas sekali. Hak mereka paling terkemudian berbanding hak-hak lain. Apabila dikatakan hak waris itu bukan duduk paling atas maknanya waris tidak boleh mengambil ambil harta peninggalan si mati sebelum selesai segala hak yang kedudukannya lebih atas daripada hak waris.
Dalam dunia hari ini, jika seseorang itu miskin memang tiada orang yang akan ambil kisah tentangnya. Tetapi jika dia kaya, ahli keluarga si mati pasti akan berangan-angan untuk memiliki hartanya. Kerana itulah, banyak kisah yang kita dengar apabila si kaya meninggal dunia, belum sempat tanah kubur kering terdapat ahli waris sudah tidak sabar untuk mengambil apa sahaja yang boleh diambil tanpa mengambil peduli tentang hak-hak lain yang perlu ditunaikan terlebih dahulu. Malah dalam situasi tertentu hak waris lain dirampas kerana tamakkan harta.
Rasulullah SAW telah mengingatkan kita agar tidak mengambil harta orang lain secara salah. Malah jika hakim membuat keputusan berdasarkan kesaksian palsu yang diberikan sehingga dia mendapat harta tersebut, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa sebenarnya apa yang diperolehnya itu adalah satu cebisan api neraka sebagaimana dalam sabda baginda yang bermaksud: “Barangsiapa yang aku berikan kepadanya sedikit hak saudaranya kerana ucapannya maka sesungguhnya aku memberikan secebis api neraka kepadanya. Maka janganlah ia ambil.” (HR Bukhari)
Akhir kalam, rujuklah pihak yang ada kepakaran dalam pembahagian harta pusaka dan ikutlah saluran yang betul agar tiada hak yang ternafi dan tiada hak orang lain diambil secara salah. Wallahuaklam.
Satu perkara yang ahli waris wajib tahu ialah sebelum mereka boleh menuntut hak ke atas harta peninggalan si mati, ada hak-hak lain yang wajib dipenuhi terlebih dahulu.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!