Kita terlalu ramai penganalisis politik!

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

Tiba-tiba sehari dua ini kita mempunyai terlalu banyak penganalisis politik. Baik dalam TV, luar TV, depan TV, penganalisis ada di mana-mana.

Dari menara gading, Menara Berkembar Petronas, Menara Taming Sari dan menara-menara lain sentiasa ada penganalisis mutakhir.

Dari coffee house di hotel lima bintang hingga kedai mamak dan warung bawah pokok tepi longkang ada sahaja sang penganalisis.

Tidak kira yang bertitle PhD, profesor, maha guru dan gelaran-gelaran lain, hatta yang tidak ada apa-apa gelaran, semua muncul sebagai pengulas, penganalisis dan peramal politik.

Dan, mereka hebat! Mendengar hujah dan teori mereka kita boleh ternganga dan terlena, seolah-olah semua masalah negara telah selesai.

Jangan sekali-sekali memperkecilkan pandangan dan pendapat penganalisis-penganalisis ini, sebab mereka tahu semuanya dari A hingga Z.

Mereka tahu apa akan terjadi pada Tun M dengan memberikan sebab-sebab paling logik. Teori A, teori B, teori C, bla, bla, bla.

Malah, ketika DYMM Yang di-Pertuan Agong, belum selesai menemui YB-YB di Istana Negara, penganalisis sudah tahu siapa sebelah Tun M, siapa sebalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, siapa sebelah Tuan Guru Hadi Awang.

Artikel Berkaitan:

Tidak itu sahaja, mereka juga sudah tahu dan begitu yakin sekiranya Tun M kekal PM siapa bakal menjadi TPM, siapa jadi menteri itu, siapa pegang portfolio sekian-sekian.

Mereka tahu apa akan jadi pada Mat Sabu, siapa akan jadi menteri ayam, siapa akan menggantikan menteri virus Wuhan, siapa menteri jaga kelapa sawit.

Mereka ada teori kenapa Anwar dan Datuk Seri Azmin Ali akan selamanya kempunan kerusi PM. Mereka ada teori apa jadi dengan Lim Guan Eng dalam kerajaan baru.

Tanya apa sahaja, para penganalisis ini akan ada jawapan yang paling meyakinkan. Mereka tahu siapa muka baru dalam Kabinet akan datang.

Mereka juga serba arif mengenai perkara-perkara yang terjadi di belakang tabir. Siapa tangan halus yang mencucuk itu dan ini.

Siapa yang sepanjang 22 bulan menjadi menteri penghasut, siapa menteri pembodek, siapa menteri kaki busuk, siapa menteri paling baik. Hati perut menteri pun mereka boleh baca.

Hatta mereka juga tahu YB sekian-sekian suka makan apa, Tun M makan ubat apa, isteri YB sekian-sekian hantar dobi di mana, anak gadis YB sekian-sekian date dengan siapa.

Tanyakan semburit dan lain-lain skandal, penganalisis ini tahu lebih banyak dari apa yang dilaporkan sebelum ini. Mereka tahu siapa dalam gebar bersama siapa.

Lebih baik mendengar sahaja, jangan cuba menghujah penganalisis profesional ini. Mereka tidak akan menerima apa juga hujah kita, sebab hujah mereka paling betul.

Silap-silap gaya kerana terlalu bersemangat dan tidak mahu disanggah, penganalisis hebat lagi bertauliah ini boleh menumbuk meja, boleh putus kawan.

Kalau dia taksub kepada sesuatu pemimpin, jangan hujah, sebab baginya itulah pemimpin paling baik. Itulah pemimpin yang betul-betul memperjuangkan nasib rakyat.

Hatta jika suruh cium kentut pemimpin itu pun dia sanggup sebab baginya kentut pemimpin pujaannya itu seharum kasturi.

Maka kita dengar sahaja hujah dan fakta para penganalisis dan profesor serba tahu ini. Biarkan dia berteori sepuas hati. Biar dia minta berapa lagi teh tarik dan roti canai.

Kalau secara kebetulan di meja kita ada dua orang atau lebih penganalisis yang sama-sama berkaliber biarkan mereka berdebat.

Jangan masuk campur, biarkan mereka selesaikan masalah negara. Sebab mereka yang tahu semuanya. Mereka mengetahui politik lebih dari politikus. Mereka tahu undang-undang lebih dari peguam negara atau ketua hakim.

Sekiranya sesama penganalisis sudah hilang sabar, ada baiknya kita meninggalkan mereka. Kalau ada rasa kesian kita belanjalah teh tarik dan roti canai yang mereka makan.

Ada ketikanya mereka cakap berdegar-degar hendak mentadbir negara, tetapi hakikatnya mereka hanya ada lidah dengan gigi.

Penganalisis profesional berstatus mi segera yang muncul secara tiba-tiba ini sebenarnya hanya bermodalkan air liur.

Boleh dengar – dan memang sedap – tetapi jangan percaya sangat!

*Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!