Kaum Cina masih mahu PH kekal, Anwar jadi PM
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Saat kemelut politik negara kian panas sekarang, majoriti kaum Cina masih mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikekalkan dan jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Personaliti media sosial, Tan Zee How atau lebih popular dikenali sebagai Apek Cina berkata, majoriti kaum Cina di negara ini tidak bersetuju dengan cadangan membubarkan Parlimen.
"Mereka rasa kerajaan PH harus dikekalkan dan janji penyerahan kuasa antara Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar ditunaikan.
"Komuniti Cina ini berharap apabila Datuk Seri Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri, beliau dapat mengimbangkan perbalahan antara kaum yang berlaku kebelakangan ini tanpa menjejaskan hak orang Cina di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, ramai kaum Cina menerima Anwar kerana jika beliau menjadi Perdana Menteri kelapan, beliau akan muncul sebagai Perdana Menteri pertama yang datang dari parti yang mempunyai keahlian pelbagai bangsa.
Bagaimanapun, beliau secara peribadi berpendapat bahawa Anwar walaupun disukai kaum Cina dan India di Malaysia tetapi dilihat tidak mampu menyelesaikan kemelut yang timbul dan akan menyebabkan masyarakat Cina kecewa.
"Saya adalah minoriti dalam kelompok kaum Cina kerana saya tidak sependapat dengan mereka mengenai pendirian itu. Kelompok minoriti ini adalah golongan Cina yang telah menyesal dengan sokongan yang diberikan terhadap DAP kerana mungkir janji.
"Kami tidak percaya kepada DAP dan PH dan begitu juga dengan pembangkang yang membentuk Muafakat Nasional. Golongan minoriti ini tidak akan beri undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya.
Mengulas lanjut, Apek Cina berpendapat, krisis politik negara ketika ini berlaku kerana ketidakpercayaan dan ketidakyakinan antara satu sama lain dalam gabungan PH.
Katanya, konflik dalaman itu memuncak ketika Mesyuarat Majlis Presiden PH pada malam Jumaat lalu apabila ada antara pemimpin PH memaksa Dr Mahathir meletakkan satu tarikh untuk peralihan kuasa seperti yang dijanjikan dalam konsensus sebelum PRU14 lalu.
"Jadi apa yang berlaku sekarang akan berlaku juga nanti kalau pun bukan terjadi sekarang. Oleh itu apa yang akan terjadi kalau kerajaan ini masih mahu dikekalkan dan Parlimen tidak dibubarkan? Jawapannya, mesti ada seorang pemimpin yang boleh kawal situasi dan orang itu adalah Dr Mahathir Mohamad. Saya rasa Anwar sendiri pun tidak dapat mengawal situasi ini," katanya.
Justeru, Apek Cina meminta kaumnya berdepan realiti dan tidak bermimpi supaya kehendak mereka berjaya dicapai melalui cara yang mereka kehendaki.
"Kita kena faham tentang kaum lain, tentang agama lain di negara Malaysia dan bukan sekadar nak orang memahami perasaan kita sahaja.
"Berdasarkan situasi politik semasa ini, saya berpendirian bahawa parti komponen dalam PH sudah tidak mempercayai antara satu sama lain. Rakyat telah meluat dengan situasi sebegini, jadi lebih baik bubarkan Parlimen serta adakan PRU15 secepat mungkin," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Dr Mahathir mahu bentuk kerajaan tanpa parti politikDebaran penantian keputusan Agong
Baki 132 Ahli Parlimen menghadap Agong hari ini
Masa depan negara ditentukan rakyat bukan elit politik
Fakta penting berhubung Perdana Menteri Interim
Jangan percaya spekulasi saya tinggalkan UMNO: Hishammuddin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!