Muafakat PH pilihan lebih baik berbanding 'kerajaan tanpa parti'

Foto: 123rf
Foto: 123rf
A
A
A

Tidak lama selepas siaran oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan mengadakan sidang medianya sendiri di ibu pejabat Keadilan.

Secara rasminya diumumkan bahawa Pakatan Harapan - Ahli-Ahli Parlimen Keadilan, DAP dan Amanah mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM.

Malaysia tidak memerlukan pentadbiran 'kerajaan tanpa parti' yang telah dicadangkan sekalipun dengan niat yang baik.

Bentuk kerajaan yang dicadangkan hanya diperlukan ketika krisis nasional yang kritikal, seperti Britain yang pernah memiliki gabungan semua parti politik atau 'kerajaan kebangsaan' semasa Perang Dunia Pertama, kemelesetan besar ekonomi dan Perang Dunia Kedua.

Kita boleh berhujah bahawa Malaysia sedang menghadapi 'krisis', dengan wabak Covid-19 di peringkat global dan pertumbuhan ekonomi yang lemah.

Walaupun krisis ini turut dirasai di peringkat global, tiada negara lain di dunia telah memilih untuk menghadapi cabaran ini dengan menguburkan demokrasi dan amalan politik mereka dengan menyerahkan kuasa kepada seorang pemimpin yang berkuasa mutlak.

Ada tiga pilihan yang dibuat oleh Ahli-Ahli Parlimen di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong: Anwar sebagai PM, Dr Mahathir sebagai PM atau pembubaran Parlimen. Tidak wujud kesepakatan di kalangan semua Ahli Parlimen dan saya percaya pilihan dengan blok sokongan terbesar - Anwar - wajar dipertimbangkan.

Dr Mahathir sering menjadikan Jepun sebagai contoh, tetapi pasca Perang Dunia Kedua negara itu tidak pernah mengambil jalan yang dicadangkan olehnya apalagi menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada seseorang tanpa semak dan imbang.

Artikel Berkaitan:

Krisis utama yang dihadapi Malaysia pada masa ini adalah dicipta oleh 'pengkhianat' dalam Langkah Sheraton. Mereka menolak muafakat dan manifesto Pakatan Harapan. Tiada keperluan mendesak untuk satu 'kerajaan tanpa parti'. Malah, manfaat daripada bentuk kerajaan ini juga boleh dipersoalkan.

Kita mesti membenarkan proses Perlembagaan negara kita untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Mengetepikan 'politik' tidak akan membantu meningkatkan ekonomi kita atau memadam rasa prejudis di antara kaum yang berbeza di negara kita.

*Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!