JAIP diarah siasat 'fun fair' di Jengka
KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diarahkan menjalankan siasatan terhadap permainan yang ditawarkan di tapak pesta ria (fun fair) yang sedang berlangsung di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka sejak minggu lalu.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, arahan itu dikeluarkan susulan bantahan daripada orang ramai yang mendakwa wujud unsur perjudian dalam permainan yang ditawarkan di tapak pesta ria itu.
"Jadi, saya akan minta perkara ini disiasat terlebih dahulu, jika ada unsur perjudian ia perlu dihentikan kerana jelas bertentangan dengan syiar Islam.
"Perkara tersebut juga akan dimaklumkan kepada Majlis Daerah Maran (MDM) agar diberikan pertimbangkan sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima surat bantahan Gabungan Masjid Wilayah Jengka di Indera Mahkota hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud dan pendakwah terkenal, Yunan Abdul Samad.
Abdul Rahman berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini adalah lebih baik bagi orang Islam menyimpan wang untuk pendidikan anak-anak daripada membazir di tempat hiburan seperti itu.
"Tidak lama lagi akan menjelang Ramadan, jadi pada bulan Rejab dan Syaaban adalah bulan untuk melatih diri meningkatkan amal ibadat.
"Justeru, orang Islam tidak sepatutnya terganggu dengan isu seperti ini kerana tanggungjawab mereka lebih besar mendaulatkan agama bangsa dan negara," katanya.
Berdasarkan rekod, penganjuran 'fun fair' di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka tidak pernah diadakan sejak 2006 kerana menerima bantahan pelbagai pihak dan penduduk.
Difahamkan 'fun fair' itu dibuka pada 19 Februari lalu telah menerima bantahan pelbagai pihak termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, Razak berkata, surat bantahan terpaksa diserahkan pihaknya kepada Mufti Pahang kerana meragui halal dan haram penganjuran pesta ria yang berkonsep permainan berunsurkan hadiah.
Katanya, pihaknya perlu merujuk perkara itu kepada pihak Mufti dan JAIP bagi menyiasat penganjuran permainan di tapak pesta ria terbabit.
"Kita tidak mahu buat andaian sendiri dan tak mahu melangkaui mereka (Mufti dan JAIP) serta mahu mereka menyiasat perkara ini.
"Jangan merasa bila kita ada kuasa seolah-olah kita boleh meluluskan apa saja yang bercanggah dengan syarak tanpa merujuk kepada mereka yang arif tentang agama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!