GM Klang rai anak yatim
KLANG - Pusat Pemborong GM Klang yang menyambut ulang tahun ke-10 pada tahun ini mengambil peluang untuk meraikan seramai 45 orang anak yatim dari Rumah Amal Cahaya Kasih Bestari.
Ketua Pegawai Kewangan GM Klang, Foo Loke Ping berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah pertama kali melibatkan anak-anak yatim dari rumah amal berkenaan.
Loke Ping berkata, seramai 20 orang kakitangan GM Klang turut sama turun padang bagi bersama-sama menjayakan program tersebut disamping meraikan anak-anak yatim terlibat.
" Kita turut bawakan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik seperti sesi beramah mesra, acara sukaneka, dan juga sambutan hari lahir buat penghuni rumah ini yang rata-ratanya berumur 1 hingga 10 tahun. "Malah pihak GM Klang turut memberikan sumbangan bernilai RM4,000 secara keseluruhan meliputi wang tunai dan barangan keperluan buat anak-anak di rumah amal ini," katanya kepada Sinar Harian.
Di samping itu, beliau berkata penganjuran program sedemikian juga dapat memberi kegembiraan buat anak-anak yatim.
"Aktiviti-aktiviti yang kita sediakan ini dapat memupuk semangat kerjasama serta nilai-nilai positif buat anak-anak ini khususnya dalam membentuk kreativiti dalaman mereka," katanya.
Tambahnya, GM Klang juga telah mengatur acara menarik sepanjang tahun ini buat orang ramai bersempena dengan ulang tahun ke-10 pada tahun ini.
"Pusat Pemborong GM Klang akan terus beri bantuan berbentuk barangan keperluan,wang tunai kepada yang memerlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!