Gajah tahan kenderaan, 'curi' makanan
BANGKOK - Seekor gajah liar menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk mendapatkan sumber makanan di jalan di Chachoengsao dan suasana itu adalah kebiasaan buat penduduk.
Bagaimanapun pemandu terpaksa berhenti di tengah jalan selepas gajah tersebut 'mencuri' makanan menggunakan belalai dari belakang pacuan empat roda yang menempatkan puluhan bungkusan berisi tebu.
Aksi gajah tersebut berjaya dirakam oleh renjer hidupan liar Amnouy Artchula sebelum tular di laman sosial, lapor Daily Mail.
Amnouy berkata, dia sempat menangkap momen menakjubkan di Khao Ang Rue Nai Wildlife Sanctuary, sebuah taman negara yang menempatkan beratus-ratus gajah liar.
Katanya, video berdurasi 1 minit 30 saat itu memaparkan, gajah jantan dewasa itu mengajar gajah lebih muda cara bagaimana untuk mencari makanan dari kenderaan yang melalui jalan tersebut.
Beliau berkata, gajah tahu kaedah terbaik bagaimana untuk menghentikan kereta sebelum mendapatkan makanan walaupun tiada keizinan daripada pemandu kereta tersebut.
"Habitat ini sering berkeliaran di hutan berdekatan dan sangat baik dengan manusia, jika manusia baik dengan mereka. Gajah-gajah ini tidak ganggu manusia.
"Itu sebabnya kami meminta semua pemandu tidak panik kerana gajah ini tidak mendatangkan bahaya sebaiknya kita harus hidup bersama mereka dengan aman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!