Dr Mahathir umum RM20 bilion pakej rangsangan ekonomi
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengumumkan RM20 bilion sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi mengurangkan impak serta merta terhadap ekonomi akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pakej itu ditunjangi oleh tiga strategi iaitu menangani impak Covid-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.
"Antara impak serta merta terhadap ekonomi akibat penularan Covid-19 di peringkat serantau adalah penurunan kedatangan pelancong.
"Kesan yang lebih ketara turut melibatkan hotel, penerbangan, syarikat pelancongan dan ke atas industri peruncitan secara meluas," katanya.
Menurutnya, bagi membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas, kerajaan mencadangkan untuk membenarkan penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan bagi perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan bagi tempoh enam bulan mulai April hingga September.
"Kerajaan juga akan memberi pengecualian levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi hotel dan syarikat pelancongan," katanya.
Beliau berkata, cukai perkhidmatan hotel juga turut dikecualikan.
"Bagaimanapun inisiatif ini akan bermula lebih awal iaitu pada bulan Mac hingga Ogos depan," katanya.
Dr Mahathir berkata, semua bank dikehendaki mengurangkan beban kewangan dalam bentuk penangguhan bayaran atau penjadualan semula pinjaman.
"Bank Negara (BNM) akan memantau pelaksanaan dan memastikan pematuhan dalam kalangan institusi kewangan," katanya pada sidang media Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di sini hari ini.
Selain industri pelancongan, sektor lain seperti pengeksportan turut terjejas akibat gangguan rantaian bekalan.
Menurutnya, banyak kilang dan pelabuhan di China tidak beroperasi akibat wabak Covid-19.
"Justeru untuk merangsang permintaan domestik, kerajaan akan menyalurkan peruntukan secara langsung kepada rakyat dengan kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dikurangkan sebanyak empat peratus iaitu daripada 11 kepada 7 peratus.
"Ini bermakna, RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum berkuat kuasa sehingga akhir tahun ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!