Kenyataan Tun M guris perasaan UMNO: Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa kenyataan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad menyinggung perasaan ahli UMNO.

Menurut Annuar, Dr Mahathir telah membuat kenyataan dalam Perutusan Khas disiarkan secara langsung semalam berhubung kemelut politik sedang dihadapi dalam pemerintahan negara ketika ini.

"Dalam kenyataan 18 para beliau, telah disentuh beberapa perkara terutamanya di para ke-11 dan para ke-12 yang amat menyinggung perasaan ahli UMNO," katanya kepada media di Ibu Pejabat UMNO hari ini.

Annuar berkata, UMNO amat memahami situasi sedang dilalui Dr Mahathir pada masa ini namun masalah yang sedang dihadapi negara pada masa ini sedikit sebanyak berpunca daripada beliau sendiri.

Menurutnya, walaupun kenyataan itu mengguris hati ahli-ahli UMNO namun beliau meminta agar semua ahli UMNO dapat bersabar, berlapang dada dan terus mempamerkan sifat baik serta berjiwa besar.

"UMNO telah diuji dengan pelbagai penganiayaan, kezaliman fitnah dan sebagainya tetapi kepada ALLAH kita berserah dan terus bersabar kerana ALLAH sentiasa dengan orang yang sabar.

"Kepada Tun, kami ahli-ahli UMNO doakan kesihatan yang baik dan hati yang tenang. UMNO, insya-ALLAH akan terus berjuang dengan tabah, sabar demi menegakkan kebenaran serta kebaikan bagi agama, bangsa serta tanah air," katanya.

Semalam, dalam perutusan khas itu, Dr Mahathir menyebut kesannya jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sokong Pas dan UMNO maka parti-parti yang kalahlah yang akan diri kerajaan. Kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar.

Artikel Berkaitan:

Para berikutnya iaitu para 12, Dr Mahathir berkata bahawa beliau sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain tetapi UMNO akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti UMNO.

Bagaimanapun pun kata Dr Mahathir, perkara itu tidak dapat diterima olehnya maka terpaksalah beliau meletakkan jawatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!