Dua beradik dikhuatiri lemas di Sungai Jelai

Lokasi kejadian dua beradik dikhuatiri lemas petang tadi. Foto: Ihsan polis
Lokasi kejadian dua beradik dikhuatiri lemas petang tadi. Foto: Ihsan polis
A
A
A

LIPIS - Kegembiraan lima beradik beriadah di Sungai Jelai dekat Taman Rekreasi Kampung Tanjung Gahai di sini bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dibawa arus deras sungai petang tadi.

Dua mangsa terbabit, Siti Nur Hidayah Mohd Rosli,19, dan adiknya,Siti Suhaida,15, dari Perumahan Agropolitan Gahai, Kuala Lipis masih belum ditemui setakat ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kelima-lima beradik itu ke taman rekreasi terbabit untuk beriadah.

"Mangsa pada mulanya bermain-main di gigi air dan seterusnya bergerak ke tengah sungai dan terus dibawa arus sungai.

"Seramai 36 anggota terdiri daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, operasi yang turut dibantu penduduk kampung telah dihentikan pada jam 7 petang tadi dan kembali bersambung pada hari esok.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!