PH kritik Tun M dalam isu persidangan khas Parlimen
SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam responsnya kepada kenyataan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai persidangan khas Dewan Rakyat pada 2 Mac ini mengeluarkan kenyataan berikut malam tadi:-
Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat tergempar malam ini.
Majlis Presiden berpendirian bahawa hak dan kuasa melantik seseorang Perdana Menteri terletak di tangan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Presiden juga berpendirian bahawa adalah tidak wajar untuk Perdana Menteri Interim (sementara) mendahului titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini.
Malah pengumuman Perdana Menteri Interim (sementara) memanggil sidang Parlimen untuk memilih Perdana Menteri adalah mencabar hak dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Umum sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dijadualkan bertemu dengan Raja-Raja Melayu untuk membincang perkara ini. Majlis Presiden menggesa semua pihak untuk menghormati budi bicara dan wewenang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!