Jabatan netizen makin serius ‘bertugas’
SEPANJANG lebih 12 tahun bertugas sebagai pengamal media, inilah kali pertama Merak Jalanan melihat kumpulan pengkritik media sosial (netizen) benar-benar mengambil serius ketika memberikan ulasan dan kritikan.
Antara komen mereka yang mencuit hati termasuklah: “Tahun 2020 ini sangat mencabar kewibawaan dan reputasi Bawang Rangers. Baru bulan Februari sudah bertimbun homework!”
“Dalam sebulan ni kami banyak on call. Banyak kes nak kena kaji dan selesaikan. Pening oii. Mana nak masaknya, nak jaga anaknya lagi?”
“Saya mencadangkan supaya pihak netizen dapat mewujudkan beberapa jabatan bagi menampung kes-kes yang datang bertimpa-timpa.” Macam-macamlah netizen ini.
Namun, apabila media melaporkan isu lain yang bukan berkaitan isu semasa mereka beramai-ramai meminta isu tersebut ditunda kepada minggu hadapan kerana mereka belum habis ‘silibus’ membawang.
Bermula dengan kisah umrah seorang usahawan kosmetik, kemudian isu hukum faraid dan diikuti dengan isu mahram abang ipar dan adik ipar.
Media sosial terus ‘hangat’ sebaik Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, empat hari lalu selain turut mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Selama tiga hari berturut-turut isu politik negara terus bergoncang akhirnya semalam, Dr Mahathir dilaporkan menerima kembali jawatan Pengerusi Bersatu dan perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.
Nah, ketika ini kelihatan komen-komen kumpulan netizen mula terarah kepada silibus Perlembagaan negara dan politik.
Walau apa pun, Merak Jalanan harap para netizen jadilah pengkritik yang berhemah dan bertanggungjawab dengan tulisan kalian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!