Badminton Terbuka Malaysia 2020 diteruskan

Kenny Goh
Kenny Goh
A
A
A

PENGANJURAN kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2020 dari 31 Mac hingga 5 April ini akan diteruskan dan tidak terjejas walaupun berlakunya penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya akan memastikan langkah pencegahan diambil dan dilaksanakan secara proaktif.“Memang kita akan ambil langkah pencegahan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pemain. Malah petang ini kita ada mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan.

“Kita juga akan dapatkan maklumat mengenai langkah pencegahan yang perlu diambil selain daripada apa yang kita sudah tahu sekarang,” katanya selepas Mesyuarat Post Mortem Sukan SEA Filipina di Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, BAM juga akan memastikan pemain dari luar negara akan mengikuti polisi yang ditetapkan kerajaan, sebelum memasuki Malaysia untuk menyertai kejohanan itu.

Katanya, kerajaan mengenakan polisi di mana pemain dari negara terlibat perlu berada di Malaysia 14 hari lebih awal dari tarikh kejohanan bermula.

“China negara pertama yang mengesahkan penyertaan pada Terbuka Malaysia. Memang mereka akan datang, cuma kita kena tahu apa polisi kerajaan untuk negara itu. Mungkin kita akan dapat lebih maklumat lepas ini, sama ada polisi ini ada pengecualian atau tidak bagi pemain China yang berlatih di luar negara,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!