Exco Selangor kecam insiden keganasan libatkan individu berimej agamawan

Beliau menegaskan, tindakan ganas sedemikian jelas bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam yang menuntut penyelesaian secara rasional serta berpandukan asas perundangan yang berkuat kuasa.
"Lebih-lebih lagi, insiden ini berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Jumaat, seorang pelajar sekolah menengah dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas ditumbuk berkali-kali oleh seorang lelaki berusia 40-an dalam satu insiden perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang.
Menurut laporan, kejadian berlaku selepas solat Jumaat apabila kedua-dua pihak terlibat dalam perselisihan ketika memasuki simpang jalan.
Walaupun tiada perlanggaran antara kenderaan mereka, lelaki berkenaan dipercayai tidak berpuas hati lalu bertindak menumbuk pelajar terbabit sehingga menyebabkan hidungnya patah dan berdarah.
Rakaman video yang menunjukkan keadaan pelajar tersebut dengan hidung berlumuran darah menjadi tular di media sosial, mencetuskan kemarahan orang ramai.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa setiap agamawan dan guru perlu menunjukkan akhlak terpuji agar dapat menjadi contoh kepada masyarakat, khususnya golongan muda.
Sehubungan itu, Mohammad Fahmi mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyemak sama ada individu terbabit memegang tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
"Jika benar individu ini merupakan pemegang tauliah MAIS, maka tauliahnya wajar ditarik balik serta-merta dan beliau akan diharamkan daripada mengajar agama di negeri Selangor," tegasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu turut menyeru agar semua agamawan dan pemegang tauliah mengajar di Selangor menjaga kemuliaan Islam serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan imej kesederhanaan dan kehormatan institusi keagamaan.
"Segala tindakan haruslah berlandaskan akhlak mulia, pertimbangan rasional, dan mengikut perundangan yang berkuat kuasa," tambahnya.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap individu yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!