Covid-19 kini menular ke Nigeria
ABUJA - Kes pertama wabak Covid -19 direkodkan di Lagos, Nigeria, yang merupakan hab perdagangan dan bandar paling ramai penduduk, umum kerajaan negeri pada Jumaat.
Pada Selasa seorang rakyat Itali memasuki Nigeria dari Milan untuk tujuan perniagaan dan dilaporkan tidak sihat pada hari berikutnya, kata Pesuruhjaya (Kesihatan) Lagos, Akin Abayomi dalam satu kenyataan.
Abayomi berkata kes disahkan pada Khamis dan segera dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Persekutuan di Abuja, lapor agensi berita Xinhua.
Bagaimanapun, identiti pesakit tidak didedahkan.
"Secara klinikal pesakit berada dalam keadaan stabil, tanpa simptom yang serius dan sedang dirawat di Hospital Penyakit Berjangkit (kini dikenali Hospital Mainland) di Yaba, Lagos," kata Abayomi.
Katanya, pegawai kesihatan sedang mengenal pasti semua kenalan pesakit sejak beliau tiba di Nigeria. - BERNAMA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!