PRK Cameron Highlands: BN ada peluang untuk menang?

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Peluang cerah untuk calon BN, Ramli Mohd Noor memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands bersandarkan faktor kedekatannya dengan pengundi dan bantuan penuh daripada jentera BN Pahang.

Penganalisis politik, Prof Sivamurugan Pandian berkata, harapan untuk bekas pegawai polis dari suku Semai itu sangat positif sekiranya beliau dan BN bijak memanfaatkan ruang dan peluang.

"Kolaborasi dengan Pas juga perlu bagi menarik pengundi Melayu dan Orang Asli keluar memilih pada 26 Januari ini.

“Pemilihan Ramli sebagai calon BN adalah satu formula dan strategi baharu yang diguna pakai BN untuk melanjutkan sokongan pengundi di Cameron Highlands.

“Tetapi formula ini bukanlah faktor penentu utama, banyak lagi faktor lain yang perlu diambil kira. Tapi jika strategi ini digunakan sebaiknya ia berpotensi untuk meningkatkan sokongan Orang Asli dan Melayu di Parlimen itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Sivamurugan, PRK Cameron Highlands ini unik kerana wujud pertembungan kerajaan pemerintah PH dan BN selaku kerajaan negeri yang masing-masing memiliki kelebihan tersendiri dan ia juga cabaran besar buat setiap calon bertanding.

Ekoran itu, tambah beliau, sekiranya Ramli bijak memanfaatkan latar belakangnya sebagai etnik suku Semai untuk menarik sokongan Orang Asli dan Melayu yang tinggal di Felda yang kebanyakannya penyokong tegar Pas, sudah pasti kemenangan BN akan terus konsisten.

“Kalau kita perhatikan kebanyakan pusat daerah mengundi (PDM) di Cameron Highlands di diami penduduk Orang Asli, bahkan calon BN lepas juga bergantung kepada sokongan Orang Asli yang telah memberikan undi hampir 75 peratus kepada BN.

Artikel Berkaitan:

"Tapi ketika itu BN ialah kerajaan pemerintah namun kini sebagai pembangkang, untuk kekal mereka harus pastikan sokongan itu dapat diteruskan.

“Apatah lagi Dun Jelai ini kerusi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sudah tentu beliau mahu kemenangan memihak kepada BN," katanya.

Katanya, sekiranya Ramli dan BN membuka langkah yang tepat menerusi kerjasama dengan Pas ia mampu untuk menarik pengundi Melayu dan Orang Asli di kawasan Felda dan pedalaman untuk keluar mengundi.

Sivamurugan berharap setiap calon pandai membeli jiwa pengundi untuk keluar memilih pada 26 Januari ini agar peratusan keluar mengundi tidak lesu seperti kebanyakan PRK lain.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon PH, M Manogaran, calon BN, Ramli Mohd Noor; serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas penyandang, Datuk C Sivarraajh pada PRU14 selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!