Klinik swasta haram disita

Pegawai JKN Pulau Pinang (kiri) membawa keluar barangan rampasan dari klinik yang didapati beroperasi tanpa lesen di Bayan Lepas kelmarin.
Pegawai JKN Pulau Pinang (kiri) membawa keluar barangan rampasan dari klinik yang didapati beroperasi tanpa lesen di Bayan Lepas kelmarin.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Sebuah klinik swasta yang dipercayai beroperasi secara haram sejak awal tahun ini disita Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang dalam serbuan petang semalam.

Operasi pada jam 2.30 petang itu dibuat hasil aduan awam selepas mendapati klinik berkenaan yang sudah ditutup sejak tahun lalu beroperasi semula tanpa berdaftar dengan pihak berwajib.

Difahamkan, klinik berkenaan diambil alih oleh pengurusan baharu tanpa menukar nama klinik lama dan beroperasi tanpa lesen sejak awal tahun ini.

JKN Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa dari Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan turut menjumpai beberapa ubat-ubatan yang tidak berdaftar dalam premis berkenaan.

"Klinik berkenaan dikendalikan oleh pegawai penguat kuasa berusia 30-an diarahkan tutup serta-merta kerana didapati melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

"Kita telah merampas beberapa dokumen dan ubat-ubatan yang tidak berdaftar yang ditemui di dalam klinik berkenaan," kata kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!