Had jawatan MB: 10 tahun atau lebih bergantung kepada perkhidmatan - Mohamed Fadzli

Mohamed Fadzli - Foto Sinar Harian
Mohamed Fadzli - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri tidak pernah membincangkan had maksimum 10 tahun untuk jawatan Menteri Besar sebagaimana cadangan yang dikemukakan bagi jawatan Perdana Menteri.

"Bagi kami jawatan Menteri Besar ini selagi individu berkenaan memberikan perkhidmatan terbaik, serta mampu dari segi kesihatan serta beliau terbaik dalam kalangan yang ada, itu tidak menjadi masalah.

"Tidak salah jika ia untuk kebaikan dan kepentingan negeri," katanya selepas diminta mengulas mengenai cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sebagaimana yang dikemukakan oleh DAP.

Sebelum itu, beliau hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih Raya Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan Negeri Kelantan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Media sebelum ini melaporkan, langkah menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun perlu dilaksana selepas mengambil kira landskap geopolitik hari ini dan masa depan.

Pelaksanaan cadangan itu juga memerlukan iltizam semua pihak memberi ruang kepada nafas baharu dan barisan pelapis kepimpinan negara.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyifatkan langkah tersebut bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih serta sistem yang lebih teratur.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!