Pekerja kilang maut kepala tersepit lif
BUKIT MERTAJAM - Seorang pekerja kilang warga Myanmar maut selepas kepalanya tersepit pada lif barang dalam kejadian di sebuah kilang di Lorong Perindustrian Bukit Minyak 12 di sini petang tadi.
Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, mangsa dikenali sebagai Wing Aung, 40, dikatakan sedang melakukan kerja mengangkat barang sebelum dia ditemui tersepit oleh rakan sekerja.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya yang menerima laporan kejadian berkenaan bergegas ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan kepala mangsa yang tersepit pada lif berkenaan.
Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda serta Sungai Bakap tiba di lokasi mendapati mangsa sudah tidak bernyawa lagi.
"Anggota kita mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum dihantar ke Hospital Bukit Mertajam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!