Tertuduh dakwa tiada kepentingan campuri urusan Zulfarhan

Zulfarhan Osman Zulkarnain
Zulfarhan Osman Zulkarnain
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tiga tertuduh bagi perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa mereka tidak terlibat dalam kejadian hingga meragut nyawa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, pada 2017, kerana tidak mempunyai sebarang kepentingan.

Ketika pemeriksaan utama oleh peguam, Azizul Shariman, tertuduh ke-10, Mohamad Syazwan Musa, 24, berkata, dia tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk mencampuri urusan Zulfarhan dan tertuduh lain, kerana tidak ada kena mengena dengan urusannya.

Katanya, selepas ‘roll call’ pada jam 12.30 malam, dia berada di kafe UPNM sehingga jam 2 pagi, kemudian pulang ke bilik.

Azizul: Apa yang berlaku di bilik?

Mohamad Syazwan: Masa itu bilik gelap, hanya satu lampu meja terpasang.

Azizul: Berapa orang yang kamu nampak?

Mohamad Syazwan: Beberapa orang antaranya Muhammad Akmal Zulhairi di kerusi.

Azizul: Mereka buat apa?

Artikel Berkaitan:

Mohamad Syazwan: Tak pasti, saya dengar perbincangan pasal ‘roll call’.

Dalam perbicaraan hari ini, tertuduh tersebut juga mengatakan, dia tidak bersetuju bahawa dia mendengar setiap ayat dialog antara tertuduh lain dengan mangsa ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.

Dia juga tidak bersetuju apabila Julia mencadangkan perbincangan mangsa dengan tertuduh lain adalah melibatkan isu kehilangan komputer riba.

Julia: Saya cadangkan awak bersama-sama rakan lain, menyoal siasat dan memukul mangsa kerana menjadi kebiasaan pelajar UPNM menyelesaikan masalah antara pelajar sebegitu.

Mohamad Syazwan: Tak setuju

Terdahulu, pengakuan sama dibuat oleh tertuduh ketujuh, Muhammad Hasif Ismail dan Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany ketika disoal oleh Julia.

Tertuduh kesembilan, Muhammad Adib Iman berkata, dia tidak menghiraukan isi kandungan perbincangan ketika mangsa disoal siasat oleh tertuduh lain.

“Saya tak hiraukan mereka sebab saya ke bilik 305 untuk berjumpa dengan Syazwan Musa (tertuduh ke-10),” katanya.

Sementara itu tertuduh ketujuh, Muhammad Hasif berkata, dia menghantar Zulfarhan ke klinik bersama rakan-rakan tertuduh lain kerana mengambil berat dengan tahap kesihatan mangsa.

Bagaimanapun dia menolak cadangan Julia, yang mencadangkan, antara sebab dia memandu kereta ke klinik adalah disebabkan rasa bersalah terhadap Zulfarhan.

Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zulhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa atas pertuduhan bersubahat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, Mohamad Syazwan Musa, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah dan Muhammad Danial Firdaus Azmir diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya, untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.

Bagaimanapun 'rahmat' Muhammad Akmal Akif Alias, apabila dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, manakala antara peguam yang mewakili tertuduh-tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dhillon, AG Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus dan Datuk Hazman Ahmad.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azman Abdullah bersambung 9 dan 10 April depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!