Kisah Mark Adam dan Suara Academy

Mark Adam membuka Suara Academy bukan kerana wang.
Mark Adam membuka Suara Academy bukan kerana wang.
A
A
A

NAMA Mark Adam sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Bermula dengan karier nyanyian, Mark Adam seterusnya membuktikan bakat dalam bidang lakonan dan dunia komedi.

Namun di sebalik sikapnya yang penuh humor, Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam tidak pernah melupakan kerjaya asalnya sebagai guru muzik.

Pengalaman 10 tahun sebagai guru muzik di negara asalnya, Filipina dan Malaysia telah mendorong lelaki berusia 41 tahun itu membuka Suara Academy di Neo Damansara.

Bercerita mengenai pusat latihan vokal dan alat muzik itu, Mark berkata, sejak dahulu lagi dia menyimpan impian untuk membuka sebuah tempat yang dapat membantu orang belajar mengenai muzik pada harga yang berpatutan.

“Alhamdulillah selepas tiga tahun dibuka, Suara Academy sudah melatih lebih daripada 300 orang pelajar yang terdiri dari usia tiga hingga 75 tahun.

“Ada yang datang ke sini bukan sahaja untuk belajar menyanyi, tetapi belajar mengenai latihan vokal sebagai persediaan menjadi bilal dan sebagainya.

“Di sini, kami menganggap sesiapa sahaja yang bersama Suara Academy adalah sebagai satu keluarga,” ujarnya ketika ditemui di Suara Academy baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Mark bersama tenaga pengajar dan orang kuat dalam penubuhan Suara Academy iaitu isterinya, Ezan (kanan).
Mark bersama tenaga pengajar dan orang kuat dalam penubuhan Suara Academy iaitu isterinya, Ezan (kanan).

Tambah Mark, Suara Academy bukan tempat belajar semata-mata, malah terbuka menerima pelajar yang benar-benar tidak mampu tetapi masih mahu belajar mengenai muzik.

Bahkan, dia turut membantu mereka yang berada dalam tekanan untuk meluah perasaan mereka menerusi muzik.

“Ada seorang pelajar yang perlu menjalani dialisis dan tidak mampu untuk membayar, tapi kita kata tak apa, teruskan datang untuk belajar secara percuma.

“Saya juga pernah mempunyai seorang pelajar yang menghidapi kanser dan membuat keputusan untuk berhenti kerana perlu menjalani rawatan. Bila melihat mukanya yang sedih, saya yakinkan dia untuk terus datang seminggu sekali ke sini untuk berbual dan akhirnya dia teruskan sesi latihan.

“Alhamdulillah dia berjaya harungi kanser itu. Walaupun kini tinggal di Hong Kong, dia tidak pernah lupa dan sering mengirimkan hadiah kepada saya," katanya.

Dalam pada itu berkongsi perkembangan terkininya, Mark berkata, dia kini sibuk dengan pementasan teater komedi seram, Korupsi Dewan Semandung dan bakal tampil dengan sebuah drama tidak lama lagi.

“Saya ada merancang untuk merakamkan single terbaharu. Tetapi buat masa ini saya sibuk dengan lakonan.

“Prinsip saya untuk terima apa yang datang dahulu, jadi sebab tawaran berlakon banyak, jadi saya terpaksa letak ke tepi sementara karier nyanyian saya. Insya ALLAH tidak lama lagi saya akan kembali dengan single baharu,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!