RM900 juta untuk Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada penjawat awam dan pesara melibatkan implikasi kewangan mencecah RM900 juta.
Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada penjawat awam dan pesara melibatkan implikasi kewangan mencecah RM900 juta.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada penjawat awam dan pesara melibatkan implikasi kewangan mencecah RM900 juta.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan bahawa pembayaran BKKA yang disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri itu bakal memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara.

"Bantuan khas ini mengambil kira keperluan perbelanjaan rakyat dalam persiapan Hari Raya Aidilfitri," katanya pada Jumaat.

Menurut MoF, peluasan asas hasil kerajaan dalam penstrukturan semula kewangan awam telah memberi sedikit sebanyak ruang untuk berkongsi hasil negara secara saksama.

"Kerajaan berharap pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara serta menjadi pemangkin untuk mereka terus berkhidmat dengan penuh dedikasi," jelas kementerian itu.

Selain penjawat awam, kerajaan juga akan mengawalkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 9 juta penerima mulai Isnin depan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian BKKA sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah.

Bantuan khas sebanyak RM250 turut dibayar kepada pesara, merangkumi pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara KWSP, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu dilaksanakan selepas kerajaan menimbang secara serius usaha dan kesungguhan penjawat awam dalam melaksanakan amanah.

Berdasarkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), gred 56 merujuk kepada gred 15.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!