Hebatnya pemikiran Tun

A
A
A

“BUKAN aku yang kata. Tetapi aku baca dan dengar orang kata juga. Dan aku percaya memang Tun mempunyai pemikiran yang hebat,” kata Pak Salim menekan-nekan. Kelihatan dia tidak berpuas hati apabila Imam Halim seakan tidak bersetuju.

“Yalah, walaupun bijak, habis porak peranda negara kita ini?” kata Imam Halim perlahan cuba menenangkan keadaan. Teh ais di depannya kelihatan tidak luak. Hanya ais yang dikunyah-kunyahnya.

“Porak peranda apanya? Negara kita aman apa. Ini semua strategi Tun. Aku bukan kata aku bersetuju dengannya seratus peratus. Aku juga bukan berbincang pasal masalah politik negara. Aku cuma sentuh tentang pemikirannya,” kata Pak Salim lagi sambil menghembus asap rokok daunnya ke muka Imam Halim.

Imam Halim mengibas-ngibas asap rokok tersebut. Sesekali terbatuk-batuk. Kelihatan juga beberapa orang lain sudah mula berani menghisap rokok di kedai makan sekarang. Yalah sejak tidak berkerajaan ini.

“Janganlah marah Pak Salim. Aku hanya memberi pendapat. Yalah aku akui juga pemikirannya hebat. Cuma kalau bercakap dari segi etika aku rasa macam tak betul sahaja. Bak kata orang bijak pandai, matlamat tidak menghalalkan cara,” jawab Imam Halim menekan-nekan pula suaranya mungkin menahan marah.

Pak Salim mendengus hebat. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak. Tangannya kelihatan terketar-ketar ketika memegang cawan kopi sebelum disua ke mulutnya sendiri. Diletaknya kembali cawan itu, kelihatan tangannya masih terketar-ketar lagi.

“Susah bercakap dengan orang bodoh ni. Suruh baca tak mahu. Nak bersembang kosong sahaja yang tahu. Orang ulas kau nak ulas juga,” terdengar suara Pak Salim perlahan antara dengar dengan tidak.

“Pak Salim cakap apa?” tanya Imam Halim. Seolah-olah mendengar apa yang dikatakan oleh Pak Salim.

Artikel Berkaitan:

“Dak aih. Kau tahu tak aku ada baca dalam surat khabar yang tulis omputih, macam mana Tun ini, ibarat membunuh tiga ekor burung dengan seketul batu. Habis dibunuhnya Amanah, Anwar dan DAP sekali gus,” kata Pak Salim lagi.

Imam Halim tekun mendengar taklimat Pak Salim. Entah faham atau tidak akan peribahasa yang disebut oleh Pak Salim itu. Sesekali dia menggeleng kepala. Mungkin tertanya-tanya juga apa kena mengena burung dengan batu agaknya.

Untuk menenangkan jiwa sendiri, Imam Halim pantas merebut rokok daun Pak Salim yang terletak di atas meja. Seperti biasa bersedia untuk menggulung dan menyumbat tembakau. Keadaan kedai mamak agak tegang ketika itu.

Kelihatan juga di meja lain beberapa orang sedang rancak berbincang sambil tangan ke atas ke bawah entah apa yang ditunjuk. Sesekali terdengar suara yang menyebut Anwar, Tun, DAP dan UMNO.

Selesai Imam Halim menggulung rokok daun, pantas dicucuhnya lalu dihembus pula asap ke muka Pak Salim. Pak Salim kelihatan tidak selesa. Dikibas-kibas asap tersebut. Asap sendiri yang berkepul dibiarkan sahaja pula.

“Kau tahu tak? Aku ada baca yang Tun ini, kalau ada orang kata yang depa faham bagaimana cara Tun berfikir maknanya orang itu penipu. Sebab tiada siapapun boleh faham macam mana Tun berfikir,” tegas Pak Salim lagi

Dan kata Pak Salim lagi seperti hendak menjerit-jerit di muka Imam Halim, “Tun ini tidak dapat dijangka langkahnya. Kalau dia kata A tidak semestinya apa yang akan dilakukan selepas itu adalah A juga. Selalunya, bila dia kata A, dia akan buat B.”

Imam Halim tersenyum lebar. Diteguknya sekali lagi teh aisnya dengan rakus lantas berkata, “Kalau begitu, aku rasa pemikiran aku inipun sama juga dengan Tun. Susah hendak dijangka. Pernah sekali tu, bini aku suruh pi pasar beli ayam, tapi sampai pasar aku pi beli daging. Terus bini aku terkejut tidak menjangka.”

Imam Salim ketawa bangga. Mata Pak Salim membulat menahan geram.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, emel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!