11 rumah rosak dilanda ribut di Sikamat
SEREMBAN - Sebelas rumah di tiga taman perumahan di Sikamat, di sini, rosak selepas dilanda ribut, semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata, kawasan yang terjejas dalam kejadian jam 2.30 petang itu ialah Rumah Rakyat Sikamat, Taman Desa Permai dan Taman Desa Rhu.
"Paling banyak di Rumah Rakyat Sikamat iaitu tujuh rumah yang didiami 34 mangsa, iaitu tujuh keluarga.
“Dua lagi Taman Desa Permai dan Taman Desa Rhu yang masing-masing dua rumah yang rosak, membabitkan sembilan mangsa,"katanya.
Menurutnya, kesemua 43 mangsa bagaimanapun selamat dan enggan berpindah sekaligus tiada pusat pemindahan dibuka.
Beliau berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah turun ke lokasi dan mengagihkan khemah kepada mangsa terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!