Rakyat jadi mangsa kerakusan politik
SEJAK seminggu lalu kemelut politik melanda negara, dan tiba-tiba semuanya dalam keadaan teka teki, hilang punca.
Hala tuju ekonomi tidak ketentuan, pasaran saham pada satu ketika menjunam pada paras paling rendah, ringgit goyah, rakyat gelisah.
Ketika masih terkapai-kapai dalam ketakutan menghadapi virus maut dari Wuhan, pemain politik menjadikan keadaan kelam-kelibut.
Sebuah kerajaan sah pilihan rakyat akhirnya tumbang, bertahan hanya 22 bulan. Setakat rencana ini ditulis, semuanya masih dalam keadaan ketidak-tentuan.
AMAT menyakitkan hati dan menyentap perasaan, dalam keadaan serba tidak menentu ini pemain politik terus bercakaran.
Masing-masing saling menuding jari, mencari salah sehingga menyebabkan kerajaan tumbang. Satu puak menyalahkan puak yang lain.
Ketika seluruh rakyat gelisah semakin menonjol wajah politikus gelojoh, masing-masing mendakwa lebih popular dan ingin membentuk kerajaan.
Sebuah kerajaan telah runtuh, sebuah negara kucar-kacir, dan orang politik masih bertelagah.
Sahlah apa pun keadaan melanda negara, orang politik tidak akan pernah insaf. Mereka hanya pentingkan diri, sentiasa memperlekehkan rakyat.
TUN M berkata orang politik asyik berpolitik sedangkan negara diancam dari segi ekonomi dan kesihatan.
Sebenarnya sebelum PM Interim berkata demikian rakyat jelata telah pun merasakan begitu, dan meluahkan perasaan itu di alam maya.
Rakyat mengeluh selama 22 bulan menjadi kerajaan apa sebenarnya dilakukan pemimpin politik kita?
Tidak nampak usaha bersungguh lagi berkesan untuk menangani masalah rakyat – harga barang terus melonjak, kehidupan semakin sempit.
Ketika rakyat dalam kesempitan ada pemimpin yang sibuk berlawan sesama sendiri untuk berebut jawatan PM, padahal kita sudah ada PM yang sah.
Sekarang kerajaan tumbang, PM pun bertaraf interim, dan mereka yang gila-gila hendak jawatan PM semua melepas. Padan muka!
BUKAN setakat yang berhajat hendak jadi PM kini semua gigit jari, mereka yang jadi menteri pun kini hilang jawatan, jadi penganggur Yang Berhormat.
Sekali lagi rakyat berkata, padan muka! Dulu sewaktu menjadi menteri sombong bukan kepalang, macam kaduk naik junjung.
Waktu jadi menteri jumpa semua orang janji macam-macam, janji bulan, janji bintang. Tetapi 22 bulan jadi menteri habuk pun tidak ada untuk rakyat. Janji kosong belaka.
Sesetengah menteri bercakap macam burung kakak tua. Mereka sendiri pun tidak tahu apa yang dicakapkan, merapu entah apa-apa.
Ada yang berkhayal dan bercakap macam dalam kisah-kisah dongeng. Sekarang sudah tidak jadi menteri habislah cerita dongeng yang membodohkan rakyat itu.
KINI mereka bercakap tentang pembubaran Parlimen. Kalau semua pihak tidak ada sokongan majoriti, Tok setuju kita mengundi lagi.
Yang sibuk cakap mengenai PRU baru itu macam yakin sangat mereka akan menang, boleh memerintah, boleh jadi YB, boleh jadi menteri, boleh jadi Perdana Menteri.
Maka rakyat tidak boleh diperbodohkan lagi. Kalau betul mengundi lagi, jangan pilih lagi muka-muka yang buat tahi selama ini. Tolak si kaki buruk, tolak kaki merapu. Selamatkan Malaysia.
AKHIR kalam, dalam aman atau ketika kemelut, petugas media tidak jemu-jemu bertugas untuk mendapatkan berita dan gambar.
Sepanjang seminggu ini wartawan tidak tidur, berjaga dan menunggu di lokasi tertentu untuk menghadapi dan melaporkan apa sahaja kemungkinan.
Kali ini ramai yang bersimpati dengan kegigihan wartawan. Petugas media yang berkampung di luar Istana Negara diberi ayam goreng KFC dan burger McD. Yang di-Pertuan Agong sendiri mengagihkan makanan tersebut kepada wartawan.
Terima kasih atas ihsan. Tetapi bagi wartawan ada KFC atau tidak mereka tetap akan tekun bertugas. Baik di hadapan istana atau di medan perang wartawan sentiasa tabah mencium dan memburu berita...
TOK PERAK
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!