Covid-19 ancam Eropah
BRUSSELS - Kes jangkitan koronavirus (Covid-19) kini merebak di rantau Eropah selepas hampir dua bulan wabak membawa maut itu menular dan meragut lebih 2,800 nyawa dan menjangkiti lebih 80,000 individu di lebih 50 negara.
Banyak pihak mengaitkan penularan di seluruh Eropah secara mendadak itu dengan ‘hotspot’ Covid-19 di utara Itali.
Pada tahun 2020, Kesatuan Eropah (EU) berharap untuk memulihkan matlamat mereka untuk membuka sempadan selepas United Kingdom (UK) meninggalkan blok itu selain ancaman keganasan dan krisis migran kini menunjukkan penurunan.
Namun, kes jangkitan Covid-19 dilaporkan hampir setiap hari di negara Eropah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan lebih banyak kes jangkitan kini direkodkan di luar China berbanding pusat wabak itu yang telah menyaksikan penurunan kes sejak 2 Februari selepas ia mula dikenal pasti pada akhir Disember lalu.
Ketika ini, negara Barat mula mengambil langkah tegas dan melarang rakyat mereka berkunjung ke Itali yang kini telah mencatatkan 400 kes jangkitan dan 14 kematian.
Selain itu, Brazil menjadi negara Amerika Latin pertama mengesahkan kes Covid-19 melibatkan seorang pesakit berusia 61 tahun yang pernah berkunjung ke wilayah Lombardy di Itali manakala Greece, Georgia dan Norway masing-masing merekodkan kes jangkitan pertama.
Sementara itu, Perancis, Sepanyol, Croatia, Austria, Macedonia Utara dan Algeria juga melaporkan kes jangkitan Covid-19 yang dikaitkan dengan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke utara Itali.
Jangan panik
Walaupun kes melangkaui sempadan China semakin meningkat, EU dilihat berusaha menangani penularan wabak itu.
“Situasi ini sangat membimbangkan, namun kita tidak boleh panik,” kata Pesuruhjaya Kesihatan EU, Stella Kyriakides pada sidang media di Rom.
Kebimbangan terhadap penularan epidemik itu juga menjejaskan pasaran global sejak beberapa hari lalu selain acara sukan dan festival di seluruh Eropah terpaksa dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga.
WHO dalam satu kenyataan juga menggesa seluruh negara antarabangsa supaya bersedia dengan ‘pandemik berpotensi’ susulan ancaman Covid-19 yang semakin meningkat.
Menurutnya, kini terdapat banyak kes jangkitan baharu dilaporkan di luar China pada setiap hari.
“Jumlah kes baharu di luar Beijing melebihi angka jangkitan dicatatkan di dalam negara itu buat pertama kali,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada diplomat di Geneva kelmarin.
Agensi di bawah PBB itu juga memberi amaran kepada negara miskin yang berisiko, sekali gus mencetuskan kebimbangan bagaimana negara Amerika Latin dan Afrika menghadapi krisis tersebut.
Sementara itu, pegawai kanan blok EU itu terbabit menegaskan Eropah perlu membuat persediaan lebih meluas untuk menghadapi krisis tersebut.
“Kita perlu bersedia untuk berdepan senario lain seperti isu kluster terbesar di rantau ini,” kata Pengarah Pusat Eropah untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Andrea Ammon.
Sehingga kini, tiada negara mengambil langkah drastik untuk menutup sempadan.
“Sekatan perjalanan tidak akan berjaya. Pelaksanaannya hanya akan memperlahankan penularan virus itu di rantau ini,” ujar Dr Clare Wenham dari London School of Economics Global Health Initiative. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!