Berpantang maut sebelum ajal, penoreh getah bernasib baik tidak dipijak gajah

KUALA KRAI - Berpantang maut sebelum ajal, demikian nasib yang dilalui seorang penoreh getah apabila gajah tiga tan yang merodoknya tidak memijak wanita warga emas tersebut dan beranggapan dia telah mati kerana tidak bergerak.
Nysa Ali, 40, berkata, perkara tersebut dikongsikan oleh ibu mentua semasa ditemui di Hospital Sultan Ismail Petra di sini pada Ahad.
Nysa berkata, ibu mentuanya yang parah diserang gajah jantan berusia 25 tahun pada Khamis lalu dalam kejadian di Kampung Laloh di sini tidak sempat menoreh apabila hidupan liar itu terus bertindak merempuhnya.
"Sebaik sahaja tiba di kebun sekitar jam 6.50 pagi ibu mentua terus diserang gajah liar berkenaan yang dipercayai telah tidur di kawasan itu tanpa sempat menoreh.
"Serangan itu menyebabkan ibu terus rebah dan tidak berdaya untuk bangun. Gajah berkenaan kemudian terus merodok ibu menggunakan gading menyebabkan paha kanannya terkoyak.
"Gajah berkenaan kemudian bertindak meninggalkan ibu mentua selepas beranggapan wanita itu mati setelah tidak bergerak," katanya.
Menurut Nysa, akibat kejadian itu ibu mentuanya tidak sedarkan diri dan perlu melalui pembedahan.
Ujarnya, ibu mentuanya kini sudah dipindahkan ke wad biasa dari Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang anggota Perhilitan dan penoreh getah mengalami cedera parah apabila seekor gajah 'naik minyak' di Kampung Laloh.
Anggota Perhilitan terbabit dipercayai ditusuk dengan gading manakala penoreh yang merupakan seorang warga emas pula diserang dari belakang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!