Minum air hujan, biskut untuk teruskan hidup
MUAR - Seorang nelayan hanya minum air hujan dan makan beberapa keping biskut untuk meneruskan hidup di tengah laut selama hampir 72 jam selepas bot fiber dinaiki hanyut hingga ke Bengkalis, Indonesia.
Ramli Rashid, 38, berkata, dia seperti mati hidup semula kerana masih hidup dan dapat kembali ke kampung halamannya di Rengit, Batu Pahat dengan selamat selepas menghadapi tragedi mencemaskan di tengah laut selama hampir tiga hari.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 19 Februari lalu ketika bot fiber dinaiki seorang diri untuk menangkap ikan di perairan Rengit mengalami kerosakan enjin dan hanyut hingga ke perairan Indonesia disebabkan angin kencang.
"Beberapa kali minta bantuan dengan melambai tangan kepada beberapa kapal dagang yang lalu tetapi mereka tak nampak saya.
ARTIKEL BERKAITAN: Nelayan hanyut ke Bengkalis sihat, selamat
“Dalam masa 72 jam saya tidak putus-putus berdoa agar ada kapal yang nampak saya.
"Alhamdulillah ada bot nelayan datang kepada saya. Dalam keadaan lemah saya diberikan bantuan dan dibawa ke sebuah kampung. Rupanya mereka itu dari Indonesia.
"Saya dibawa pulang ke Kampung Pantai Desa Tambang, Bengkalis, Indonesia kira-kira jam 7 malam pada 21 Februari lalu," katanya.
Ramli tiba di Terminal Feri Maharani, Muar, kira- kira jam 2 petang semalam diiringi Ketua Kampung Bumiputra, Rengit, Mohd Khallif Siron.
Menurut Ramli, dia berterima kasih atas usaha pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia membantunya pulang dengan selamat ke tanah air dalam tempoh seminggu.
“Ini kali pertama saya hanyut ke negara Indonesia setelah lebih enam tahun menjadi nelayan.
"Saya tidak mungkin melupakan tragedi hitam pada 19 Februari itu. Buat masa ini saya belum bersedia untuk ke laut semula,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komender Maritim Mohamad Othman berkata, bot milik mangsa masih lagi berada di perairan negara semasa mengalami kerosakan.
Katanya, bot berkenaan telah hanyut sejauh 45 batu nautika dan memasuki perairan Indonesia sebelum diselamatkan oleh nelayan di sana.
“Bagi menyelamatkan mangsa operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini telah membabitkan dua pesawat, dua kapal dan empat bot pelbagai agensi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!