Penjawat awam terima padah subahat

Noor Azam (depan) dan Mohd Fatyhah (belakang, tengah) selepas prosiding kes.
Noor Azam (depan) dan Mohd Fatyhah (belakang, tengah) selepas prosiding kes.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penjawat awam dipenjara empat tahun dan denda RM55,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan bersubahat dengan pemilik sebuah syarikat berhubung tuntutan palsu, empat tahun lalu.

Mohd Fatyhah Putera Hamzah, 38, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi empat pertuduhan tersebut, beliau dituduh sebagai seorang ejen kerajaan iaitu Pembantu Antidadah (Gred S22) bersubahat dengan Noor Azam Khalid iaitu pemilik AK Maju Resources yang telah memberikan invois tuntutan empat program berlainan berjumlah RM8,000 sedangkan semua program tersebut tidak dilaksanakan.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Segamat pada 11, 15 dan 27 Februari serta 10 Mac, tahun 2015.

Mohd Fatyhah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 28(1)(C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 18 dan Seksyen 24(2) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding berasingan, Noor Azam, 38, mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap empat pertuduhan mengemukakan invois tuntutan palsu.

Bagi empat pertuduhan ke atasnya, beliau dituduh memberikan invois tuntutan empat program berlainan berjumlah RM8,000 kepada Ketua Antidadah AADK Cawangan Segamat, Naharuddin Nawawi sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dilakukan di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Segamat pada 11, 15 dan 27 Februari serta 10 Mac, tahun 2015.

Artikel Berkaitan:

Noor Azam dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta seorang penjamin dan 13 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi Noor Azam.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nor Syarina Raizan.

Noor Azam diwakili peguam, Rosli Kamaruddin manakala Mohd Fatyhah tidak diwakili mana-mana peguam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!