Tentera Darat bakal terima helikopter MD 530G
KUALA LUMPUR – Tentera Darat bakal memperoleh enam helikopter tempur ringan model MD 530G hujung tahun ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, pihaknya berharap helikopter itu akan tiba ke negara ini mengikut jadual yang telah dirancang.
“Aset ini akan memberi impak kepada operasi Tentera Darat,” katanya ketika Wawancara Khas bersama Ahmad Hasbullah di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Ahmad Hasbullah berkata, pihaknya sedang melakukan beberapa ujian sebelum helikopter buatan McDonnell Douglas berpangkalan di Amerika Syarikat itu dibawa pulang.
“Kita telah menghantar sepasukan juruterbang ke Amerika Syarikat untuk konfigurasi dan melakukan ujian ermasuk meneliti aspek teknikal dan ‘certificate aviation’.
“Juruteknik pula bersedia dengan diberi pendedahan berkenaan aspek penyelenggaraan helikopter itu,” katanya.
Menurutnya, berkaitan perkara itu juga, pihaknya kini sedang merancang lokasi penempatan bagi anggota yang akan ditugaskan mengendalikan helikopter tersebut di Sabah kerana helikopter berkenaan akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Hasbullah berkata, orang ramai berpeluang melihat demonstrasi 'Army Red Warrior', tempur tanpa senjata, pameran senjata serta aset Tentera Darat sempena Sambutan Hari Tentera Darat ke-87 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Ahmad Hasbullah berkata, objektif penganjuran itu adalah bagi mengukuhkan komitmen Tentera Darat terhadap pertahanan dan kepentingan keselamatan di Sabah.
“Kita dapat mengukuhkan kedudukan dan kepentingan keselamatan negeri itu bersama agensi awam dan rakyat, seterusnya mampu merealisasikan penganjuran ulung hari ulang tahun Tentera Darat di Sabah,” katanya.
Ahmad Hasbullah berkata, tema Hari Tentera Darat ke-87 adalah Tentera Darat bersama Rakyat Sedia Sebilang Masa.
“Tanpa sokongan padu dan kerjasama yang jitu daripada rakyat, pertahanan negara kita akan rapuh dan mudah dimusnahkan dengan apa jua unsur yang menggugat keamanan Nngara. Kesedaran terhadap pertahanan negara ini perlu dipupuk di semua peringkat masyarakat,” katanya.
Ahmad Hasbullah berkata, rakyat yang berada di sekitar Sabah dijemput untuk memeriahkan sambutan tersebut.
“Masyarakat diberi peluang untuk mengenali Tentera Darat khususnya individu yang berminat dengan kerjaya Tentera Darat. Ini merupakan platform terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!