Kisah pengkhianatan Brutus
DALAM saat-saat yang tidak menentu seperti sekarang, elok juga kita memperingati peristiwa lampau, sama ada yang kita lalui sendiri atau kita dengar daripada orang lain.
Ini bukan kerana kita hendak berfalsafah atau kerana kita tidak mempunyai jawapan kepada apa yang sedang kita lalui tetapi sebagai panduan.
Bergantung kepada latar belakang pendidikan dan pengalaman kita maka peristiwa lampau yang menjadi panduan itu juga berbeza.
Dalam konteks peristiwa yang berlaku sehingga menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad hilang keupayaan untuk terus menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan, saya teringat cerita pengkhianatan Marcus Junius Brutus ke atas Julius Caesar.
Brutus adalah seorang jeneral Rom manakala Caesar pula seorang jeneral dan negarawan yang dikreditkan dengan penubuhan Empayar Rom.
Pada 15 Mac, 44 tahun Sebelum Masihi ketika berusia 55 tahun beliau mati ditikam oleh Brutus. Perbuatan khianat Brutus menjadi mercu tanda kedayusan politik kerana dia menikam Caesar dari belakang.
Pastinyalah ia perbuatan khianat yang sangat hina kerana sebagai jeneral, Brutus sepatutnya berdepan dengan Caesar di gelanggang kerana kedua-dua mereka ada perwira.
Caesar seorang jeneral hebat berhati mulia. Ketika dia masih berperang di Sepanyol dia sudah dianugerahkan pelbagai penghormatan.
Dia tidak menghukum musuh-musuh yang ditewaskan sebaliknya mengampunkan mereka. Ini menyebabkan ramai jeneral dan senator membenci dan mencemburuinya.
Apabila dia pulang membawa kemenangan, dia diberikan kuasa yang luas kerana kemampuannya dan ini menambahkan cemburu terhadapnya.
Di hari pengebumiannya, seorang jeneral dan penyokongnya, Mark Antony memberi ucapan berikut:
Sahabat, orang Rom, rakan senegara, pinjamkan telingamu kepadaku,
Aku datang untuk mengebumikan Caesar bukan untuk memujinya,
Kejahatan yang manusia lakukan akan hidup bersamanya,
Kebaikan yang dia lakukan akan terkubur bersama jasadnya,
Kebaikan akan dikuburkan bersama tulang-tulangnya,
Maka biarkanlah itu yang terjadi kepada Caesar,
Tuan Brutus yang mulia memberitahumu,
Bahawa Caesar tinggi cita-citanya,
Andai itu benar ia adalah kelemahan,
Dan Caesar telah menjawabnya dengan nyawa,
Di sini, dengan izin Brutus dan kalian,
Kerana Brutus seorang yang mulia,
Dan semua yang berhimpun di sini orang mulia,
Maka aku datang untuk berucap di pengebumiannya,
Dia sahabatku, setianya hanya padaku,
Tetapi Brutus kata dia bercita-cita tinggi,
Dan Brutus adalah orang mulia,
Caesar bawa pulang tawanan ke Rom,
Yang tebusannya mengisi kantung para jeneral,
Kerana ini Caesar dituduh bercita-cita tinggi?
Pabila si miskin menangis, Caesar meratap,
Ini bukan tanda Caesar gila kuasa,
Namun Brutus menuduhnya tamak dan haloba,
Dan Brutus adalah orang mulia,
Tidakkah kalian lihat di Lupercal,
Tiga kali ku cuba sarungkan dia mahkota,
Tiga kali juga dia menolaknya?
Itupun Brutus kata dia terlalu bercita-cita,
Dan Brutus adalah orang mulia,
Aku bukan menyangkal cakap Brutus,
Aku di sini berhujah apa yang aku tahu,
Anda semua mencintainya suatu waktu dulu pastinya bukan melulu,
Apa yang mengikat kamu dahulu maka hari ini kamu meratapi pemergiannya?
Oh pengadilan, engkau telah lari bersama-sama orang yang kejam,
Manusia sudah hilang pegangan. Bersabarlah bersamaku,
Hatiku kini dalam keranda Caesar,
Dan aku akan berdiri di sini sehingga hatiku kembali.
Wallahuaklam.
*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!