A Samad Said bercita-cita ingin mati atas sejadah

Temubual khas Sinar Harian bersama A Samad Said di Kuala Lumpur hari ini. -Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Temubual khas Sinar Harian bersama A Samad Said di Kuala Lumpur hari ini. -Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

TIDAK ramai yang tahu kisah bagaimana surat Datuk Seri A Samad Said kepada Said Zahari dibuang ke lantai oleh Pengarang akhbar Utusan Melayu itu semata-mata kerana meminta gajinya dinaikkan RM10 sebulan. Kejadian itu berlaku pada awal tahun 1960-an. Kepayahan hidup seperti itu adalah sebahagian daripada pengalaman yang terpancar dalam karya-karya Sasterawan Negara itu, bermula daripada novel Salina sampailah karya puisi Al-Amin.

Dalam wawancara selama sejam bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dan Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Zuki Pileh di sebuah kafe di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini, A Samad Said yang mesra dipanggil Pak Samad berkongsi pelbagai cerita, daripada kemegahan seorang sasterawan sehinggalah bagaimana beliau terlibat dalam kocakan politik tanah air pada tahun-tahun mutakhir ini.

SINAR AHAD: Pada zaman muda, Pak Samad pernah melalui kehidupan bersama Ahmad Boestamam, Keris Mas dan Said Zahari iaitu nama-nama besar dalam bidang politik, kesusasteraan dan kewartawanan. Bagaimana mereka mempengaruhi pemikiran Pak Samad?

SAMAD: Saya fikir watak-watak penting Asas 50 saya kenal. Jika berundur ke belakang, ada tokoh seperti Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan Idrus, tokoh Angkatan 45. Saya juga ada pada zaman Keris Mas, Usman Awang dan Asraf Wahab. Kebanyakan orang kenal nama tetapi tidak sempat berinteraksi dengan mereka.

Saya pernah menyaksikan Ahmad Boestamam bertelagah dengan A Samad Ismail berhubung soal Seni Untuk Seni dan Seni Untuk Masyarakat pada 1950-an. Samad Ismail menulis dalam Utusan Zaman, Ahmad Boestamam dalam Mingguan Fikiran Rakyat.

Kedua-dua tokoh kiri itu pernah melalui kehidupan yang sengsara. A Samad Ismail hidup tertekan di Singapura. Ahmad Boestamam pernah menjadi tahanan, begitu juga Samad Ismail. Seorang ditahan di Kuala Lumpur, seorang di Singapura. Kedua-duanya ialah wartawan yang berjuang dan berpengaruh. Waktu itu saya tidak sedar, hanya selepas itu baru saya sedar (tentang pengaruh tokoh berkenaan).

Pak Samad menulis Salina ketika umur awal 20-an. Novel itu kemudian menjadi novel besar sampai hari ini. Adakah jika Pak Samad menghasilkan Salina pada usia 40-an atau 50-an, perspektif Pak Samad tentang zaman itu akan berbeza?

Saya menulis novel itu ketika saya sangat muda dan bersih, dalam erti kata jujur dalam menyatakan situasi. Bila anda sudah berusia, terkadang-kadang anda tulis berkira, ada tempat anda sembunyikan, ada tempat yang tak besar tapi dibesar-besarkan. Masa menulis Salina umur saya 23 tahun. Boleh jadi ia disebabkan pengaruh lingkungan saya.

Artikel Berkaitan:

Semasa muda, Pak Samad menulis dengan satu pendirian tetapi adakah pada tahun 2020 ini Pak Samad menulis dengan alasan yang berbeza?

Saya tidak fikir begitu. Apa yang berubah ialah saya menulis daripada dunia realiti biasa kepada dunia agama. Kalau ada aliran yang lain ialah daripada dunia realiti masyarakat biasa kepada dunia islami. Itu sebab saya tulis karya puisi Al-Amin.

Pak Samad seorang penulis yang hidup dalam kocakan politik tetapi Pak Samad bukan aktivis politik pada zaman awal. Tetapi beberapa tahun lepas, Pak Samad kelihatan aktif di pentas Bersih. Mengapa?

Oleh sebab saya bekerja dengan akhbar dan sifat akhbar itu mahu tidak mahu mesti berpolitik, baik politik dalam negara mahupun luar negara. Apatah lagi Utusan ketika itu menjadi tumpuan khususnya ahli politik. Saya melihat bagaimana UMNO menggunakan wang untuk membeli Utusan. Saya ada di situ.

Rupa-rupanya Utusan tidak ada duit, dari dulu sampai sekarang (ketawa). Tetapi Utusan terisi dengan orang yang berwibawa dan berkarakter. Di situlah UMNO menggunakan wibawa media (untuk mengukuhkan pengaruh).

Pak Samad pernah menulis sajak pendek bertajuk Nikmat yang berbunyi: ‘Segala yang dihasrat tapi tak dapat, adalah nikmat yang paling padat’. Kenapa Pak Samad tulis begitu?

Saya fikir dalam kehidupan, kita mempunyai banyak keinginan. Dan keinginan yang tidak dapat itulah nikmat yang sebenarnya. Ia mendorong kita untuk terus berfikir tentangnya, untuk sentiasa menyedari bahawa inilah dunia dan bukan syurga. Kita tidak akan dapat apa yang kita ingin sebab kita tidak berantakan satu lawan satu, kita berantakan dengan kelompok yang berbeza dan bertentang dengan kita. Jadi apa yang kita hendak, kita tak akan dapat. Sebab itulah ia paling nikmat.

Pada tahun 2012, Pak Samad menjadi Pengerusi Bersama Bersih. Apakah yang menyebabkan Pak Samad menjadi begitu marah ketika itu?

Saya fikir perkara itu lebih kepada hanya kebetulan sebab saya ingin menyelamatkan Bersih. Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan tidak diterima sebagai pemimpin khususnya oleh orang Melayu dan saya mahu menyelamatkan gerakan itu.

Sebab itu bila mereka datang berjumpa saya beberapa kali, saya akhirnya setuju. Mereka cuma meminjam nama saya sedangkan saya tidak buat apa-apa. Pernah terjadi dalam satu demonstrasi, akhirnya yang tinggal saya seorang. Saya rasa satu perjuangan seperti itu besar maknanya bagi masa depan bangsa.

Apakah Pak Samad fikir penglibatan aktif seorang sasterawan dapat membantu gerakan politik?

Dalam sastera saya puas hati, suka atau tidak suka. Salina memulakan, Hujan Pagi mengakhiri, Al-Amin juga mengakhiri. Saya fikir dengan buku itu sahaja meskipun saya tak buat apa-apa, saya sudah ada tempat dalam kesusasteraan. Yang lain-lain biasanya terjadi secara kebetulan. Macam Bersih, saya terima kerana nak selamatkan Bersih itu, bukan disebabkan Ambiga. Ambiga memang ada grup yang kukuh, cuma tiada tokoh yang dianggap bermitos.

Sekarang bila kerajaan bertukar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, adakah perjuangan Pak Samad itu kelihatan telah berjaya?

Saya tidak terfikir soal itu. Tetapi setidak-tidaknya negara telah bergerak ke depan sedikit. Hanya tokoh-tokohnya yang kurang menyenangkan saya. Cuma itu mungkin silap saya kerana membayangkan pemimpin itu harus orang yang sentiasa memberi, bukan menerima.

Tidak bererti saya tidak mahukan harta. Secukupnya okey bagi saya. Saya pernah ditawarkan RM500,000 tetapi saya tolak. Ada kelompok yang tahu saya tiada duit, mereka beli lukisan saya, yang pada saya bukan besar harganya tapi disebabkan pemimpin tertentu merasakan saya harus dibantu. Saya taklah kaya sangat tapi saya okey.

Sejak dua tahun lepas Pak Samad bersahabat dengan orang yang berkuasa dalam kerajaan. Adakah Pak Samad melihat ada perbezaan antara dua fasa ini iaitu ketika di luar kerajaan dan waktu berkuasa?

Saya fikir ia ketaksengajaan. Saya bukanlah tokoh yang sengaja mahu menjadi begitu. Saya tidak berubah, masyarakat yang berubah. Orang yang memegang tampuk kuasa mulai sedar bahawa watak-watak tertentu penting untuk mewarnakan diri mereka sendiri.

Temubual khas Sinar Harian bersama A Samad Said di Kuala Lumpur hari ini. -Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Temubual khas Sinar Harian bersama A Samad Said di Kuala Lumpur hari ini. -Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Pak Samad masuk parti DAP pada 2015. Apakah yang menyebabkan pengumuman itu?

(Ketawa besar) Banyak orang tidak tahu saya sudah lama mengenali Lim Kit Siang. Kami berkawan semasa masing-masing bekerja sebagai wartawan, saya di Utusan, dia di Straits Times Singapura. Dalam kalangan wartawan, kami ada sikap setiakawan. Kita tahu dan kenal perangai hampir semua wartawan.

Ada tokoh wartawan yang kita tidak boleh pinjamkan dia wang kerana dia bukan jenis yang suka bayar hutang. Benda-benda yang macam inilah yang mengajar kita bahawa usia tidak lama.

Banyak orang menyangka Kit Siang mempengaruhi saya. Sebenarnya, dia tidak mempengaruhi saya dengan kata-kata tetapi dalam aksinya. Tengok muka saja kita tahu dia Cina. Tetapi kita juga tahu setiap orang ada jalan dan jalur hidup untuk dirinya dan bangsanya.

Pada 2008 Pak Samad berjuang menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum dimansuhkan. Tapi kini cakap-cakap untuk dasar itu dilaksanakan muncul kembali. Komen Pak Samad?

Saya fikir bahasa Inggeris itu penting. Tetapi dengan tiada kecenderungan untuk membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Bahasa Inggeris ibarat gayung untuk mengambil air, ia penting. Namun, mengutamakan bahasa Inggeris sehingga bahasa Melayu menjadi lemah, bukanlah caranya. Secara umum, bahasa Melayu dihargai. Cuma andaian saya, kita masih bersikap perkauman. Ini soal interpretasi.

Pak Samad banyak membaca karya sastera besar dunia. Apakah novel terbaik dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Mengapa?

Novel bahasa Inggeris yang saya baca secara berulang-ulang ialah The Old Man and the Sea karya Ernest Hemingway. Ia sangat berfalsafah, sangat deskriptif. Ia terhasil daripada pengalaman Hemingway sendiri berhadapan dengan laut yang menjadi simbolik perjuangan dalam kehidupan.

Dalam bahasa Melayu pula ialah novel-novel Ishak Haji Muhammad seperti Anak Mat Lela Gila dan lain-lain. Walaupun tekniknya terlalu ketinggalan tapi terlihat kejujuran dia bercerita dalam novel itu. Kita dapat tangkap hati nuraninya. Sekarang orang tulis cerita kerana mahu jual cerita. Dulu orang menulis cerita untuk menyatakan pendapat, pendirian serta cita-cita bangsanya.

Jadi bezanya dulu orang menulis untuk bangsa, sekarang menulis untuk jual cerita?Ya, itu bagi penulis-penulis tertentu dan kita tidak salahkan mereka. Generasi muda ini berbaur, tapi siapa pun mesti mahu hasil tulisannya mendatangkan rezeki.

Tokoh-tokoh yang sanggup mengetepikan kebangsawanan demi kesusasteraan sudah kurang. Antara yang saya ikuti sekarang ialah karya-karya SM Zakir dan Siti Zainon Ismail. Banyak orang yang tak tahu, saya sering membaca novel mereka berulang-ulang kali.

Saya menulis novel itu ketika saya sangat muda dan bersih, dalam erti kata jujur dalam menyatakan situasi. Bila anda sudah berusia, terkadang-kadang anda tulis berkira, ada tempat anda sembunyikan, ada tempat yang tak besar tapi dibesar-besarkan.



Yang lain-lain seperti kisah-kisah serigala jadi orang, Tomburio, saya hormati kerana mereka menghasilkan apa yang diingini pembaca. Tetapi saya juga ingin melihat kesusasteraan secara diam-diam mencanggihkan bakat dan membina khazanah bangsanya.

Apakah kejujuran itu masih ada dalam kalangan orang seni?Saya fikir nafsu komersial sudah masuk, jadi orang tidak bisa jujur lagi. Kalau dalam novel, beberapa bab mungkin jujur tapi yang selebihnya goreng. Kita tidak perlu 50 orang novelis, kita cuma perlu dua tiga orang yang perlu kita ikuti jalannya.

Apakah Pak Samad fikir kesusasteraan mempunyai apa-apa makna kepada kehidupan masyarakat zaman ini?

Saya fikir orang tidak lagi fikir soal seni. Orang sibuk bekerja soal mengisi hidup. Kalau terbit buku 3,000 naskhah pun susah sekarang. Mereka mampu membeli tapi orang masih tidak mahu ke situ. Itu saya namakan kesakitan dalam masyarakat kita.

Apakah cita-cita Pak Samad pada usia 88 tahun sekarang?

Saya mahu duduk di sejadah, kalau boleh mati pun di sejadah. Saya fikir saya orang yang damai, terkadang-kadang saya merasakan telah dianugerah. Kerajaan beri bayaran bulanan RM5,000 misalnya, saya bersyukur. Setiap hari saya baca Yasin, barangkali tidak lagi ternampak visualnya di masjid sebab saya sekarang sakit yang menyukarkan saya sujud.

A SAMAD SAID

Nama sebenar: Abdul Samad Muhammad Said

Umur: 88 tahun (1932)

Asal: Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka

Pendidikan: Victoria School, Singapura

Pekerjaan: Penulis, penyair, pengarang

Karya agung: Salina (1961)

Anugerah: Sasterawan Negara (1985)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!