Hasan terkenang ibu angkat di Jepun
SAMPAI masuk hospital saya dibuatnya,” kata bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek ketika membuka bicara sambil disusuli ketawa kecil ketika Sinar Ahad bertemu beliau di Seremban baru-baru ini.
“Dulu saya belajar pakai lampu pelita, orang muda sekarang mungkin tak tahu lampu itu. Saya ingat pada waktu itu dalam Tingkatan Lima, ada ulat masuk ke telinga saya, esok saya ada peperiksaan.
“Bila ulat masuk dalam telinga kalau diam saja tak apa tapi dia ‘rong, rong, rong’ bising dalam telinga. Masa itu rasa dunia ini nak kiamat pun ada, terpaksalah saya pergi hospital,” sambungnya sebagai mukadimah kenangan hidupnya.
Mengimbau kembali ranjau kehidupan ditempuhinya, bekas menteri yang kini berusia 74 tahun itu kadangkala termenung dan sesekali tersenyum, menganggap semua perkara yang pernah dilaluinya sebagai kenangan manis dalam hidupnya.
“Saya sebenarnya dilahirkan di kampung, maknanya latar belakang saya sebagai masyarakat tradisi, keluarga pun sederhana, jadi saya membesar dalam suasana begitu.
“Dalam suasana kampung sebegitu, saya tinggal dalam rumah papan, kesusahan, kemiskinan di kampung, tiada elektrik, tiada air, saya pernah hidup dalam suasana itu,” Hasan menyambung bicara.
Tutur katanya terhenti seketika. Daripada riak wajahnya jelas kelihatan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah itu cuba mengorek kembali kisah lama. Kemudian, beliau menyambung bicara dan berkongsikan kenangan-kenangan yang tidak akan pernah sekali dilupakannya.
“Habis belajar, saya kemudiannya menjadi guru, mengajar di sekolah pedalaman, tiga tahun mengajar sekolah menengah di kampung,” sambungnya lagi.
Bagi Hasan, kenangan-kenangan itulah yang menguatkan iltizam dirinya yang merupakan anak jati Negeri Sembilan untuk menggapai cita-cita. Berbekalkan kecintaannya kepada ilmu, Hasan kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya pada tahun 1970.
Kisah Sakura MaruAktif bergerak dalam persatuan belia sehingga ke peringkat Asia, Hasan bertuah kerana terpilih mewakili negara untuk belayar dengan Kapal Belia Asia atau lebih dikenali dengan nama Sakura Maru pada tahun 1974. Beliau terlebih dahulu menaiki kapal terbang ke Jepun dan tinggal beberapa hari di rumah keluarga angkat Jepun, sebelum memulakan pelayaran bersama Sakura Maru.
Kapal Sakura Maru kemudian berlayar dari Jepun sebelum singgah ke beberapa destinasi seperti Manila, Filipina; Bangkok, Thailand dan Pelabuhan Klang, Malaysia.
“Dalam pelayaran itu untuk kita mempelajari cara hidup orang Jepun dan bagi Jepun pula, program itu bertujuan menghilangkan persepsi masyarakat kita kepada orang Jepun. Saya beranggapan dulu, orang Jepun ini kejam.
“Tapi bila kita pergi Jepun dan lihat cara hidup mereka, cara mereka berhadapan dengan kita, saya nampak banyak perkara kita boleh belajar daripada mereka. Disiplin, hormat orang tua, hargai masa, itu antara elemen yang boleh kita belajar daripada mereka,” katanya.
Hasan tersenyum lagi. Kali ini beliau terkenangkan pula pengalamannya di Jepun.
Dalam banyak-banyak kisahnya di Jepun, layanan keluarga angkatnya di sebuah perkampungan di Fukuoka meninggalkan kesan paling mendalam di hatinya.
Mana tidaknya, isteri tuan rumah membantu meleraikan tali kasut dan membuka kasutnya. Pertama kali ke tempat orang, sudah pasti Hasan kaget dan dari masa ke masa, persepsinya terhadap orang Jepun perlahan-lahan berubah.
“Dia buat begitu sebagai tanda menghargai dan mengalu-alukan tetamu. Daripada wajahnya, memang nampak kedatangan saya sangat diraikan, nampak ikhlas pada mukanya.
“Apa yang saya nampak, masyarakat di sana sangat menghargai masa. Keluarga angkat saya, mereka adalah petani dan mereka bangga dengan pekerjaan mereka,” cerita Hasan.
Arena politik
Beralih daripada satu cerita ke cerita yang lain, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu sudah pasti tidak dapat lari daripada menceritakan penglibatannya dalam arena politik negara bahkan liku-liku ketika menjadi menteri suatu masa dahulu.Menurut Hasan, beliau tidak pernah bercita-cita untuk terjun dalam dunia politik namun dek kerana beliau gemar melibatkan diri dalam kerja-kerja sosial, sedar tidak sedar beliau mula menghampiri dan akhirnya masuk ke dalam arena politik negara.
Kemuncaknya, sudah tentu ketika beliau dilantik menjadi menteri pada 2013. Pada zaman beliau, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan dan cabarannya cukup hebat pada waktu itu.
“Masa jadi menteri, saya pernah pergi ke Pasar Borong Selayang pada jam 3 pagi. Saya tak mahu dengar cakap pegawai saya sahaja, saya nak pergi tengok sendiri, rasai sendiri apa masalah rakyat,” katanya.
Selama lebih 50 tahun dalam dunia politik, Hasan mengakui sokongan daripada keluarga dan rakan menjadi pendorong buatnya kekal kuat menghadapi cabaran.
Nama: Datuk Seri
Hasan Malek
Umur: 74
Asal: Kuala Pilah
Isteri: Datin Seri Norainee Mohd Yatib
Anak: 3
Antara pencapaian:Duta Besar Malaysia ke Kemboja (2015-2018)
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(2013-2015)
Ahli Majlis Tertinggi UMNO (2013-2016)
Ahli Parlimen Kuala Pilah (2004-2018)
Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh (1995-2004)
Presiden Majlis Belia Malaysia (1986-1988)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!