Transformasi Sinar Harian kepada Sinar Ahad

No Image Caption
A
A
A

USIA akhbar Sinar Harian akan mencecah 14 tahun pada Julai tahun ini. Perjalanan yang masih belum panjang tetapi sudah melebihi satu dekad. Menyiarkan kisah komuniti orang Pantai Timur adalah rahsia kejayaan Sinar Harian ketika pertama kali diterbitkan pada 1 Julai 2006 di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Selain harganya yang murah iaitu 50 sen atau ‘samah jah’, orang Kelantan dan Terengganu merasakan Sinar Harian sebagai akhbar mereka.

Sinar Harian cukup sinonim dengan mereka. Sambutan ketika itu cukup luar biasa. Dengan hanya beberapa keluaran Sinar Harian sudah mampu mendahului akhbar-akhbar lain.

Akhbar ini juga yang mempopularkan perkataan ‘cakna’ yang bermaksud ambil tahu atau prihatin. Ini kerana ketika itu Sinar Harian mempunyai Skuad Cakna, wartawan dengan kereta Perodua Kancil berwarna merah yang ‘berkeliaran’ di seluruh daerah untuk mendapatkan berita.

Sinar Harian kemudiannya telah melebarkan jajahan ke Pahang. Selepas menakluki tiga negeri di Pantai Timur, Sinar Harian semakin agresif meluaskan pengaruhnya ke seluruh Semenanjung Malaysia sehingga mampu bersaing sebagai surat khabar arus perdana.

Dalam tempoh singkat, jumlah edarannya semakin bertambah. Menjelang tahun 2013, jumlah edarannya melebihi 150,000 naskhah sehari dan menyaingi akhbar-akhbar arus perdana ketika itu. Selain dikenali sebagai akhbar komuniti, Sinar Harian turut dilabel sebagai akhbar politik. Ini kerana dua genre itu menjadi forte Sinar Harian sejak 14 tahun lalu.

Namun bezanya, Sinar Harian mengambil pendekatan melaporkan secara neutral, tidak memihak kepada mana-mana pihak dan melaporkan berita secara telus dan tulus. Dengan saingan daripada media internet, angka itu ternyata sukar untuk dipertahankan namun Sinar Harian tetap menjadi akhbar arus perdana yang paling diyakini.

Selepas mendapat kelulusan penerbitan oleh Kementerian dalam Negeri (KDN), hari ini adalah masa paling sesuai untuk meluncurkan Sinar Ahad di pasaran.Ini adalah transformasi. Sekiranya laporan Sinar Harian lebih kepada politik dan komuniti, Sinar Ahad pula lebih santai, sesuai dengan taglinenya, Membina Perspektif.

Artikel Berkaitan:

Sinar Ahad bukan sahaja mercu tanda dalam sejarah akhbar ini, malah ia adalah kejayaan anda pembaca sekalian yang menjadikan akhbar ini terus bertahan.

Sinar Ahad akan mengubah rakyat Malaysia pada hujung minggu. Tiada lagi stres pada hujung minggu apabila membaca laporan berita politik mutakhir yang bagaikan tiada kesudahannya. Mungkin harga Sinar Ahad lebih mahal daripada biasa iaitu RM1.50 (Sinar Harian berharga RM1.20) tetapi percayalah, pembaca akan mendapat lebih nilai.

Membaca Sinar Ahad lebih relaks kerana banyak cerita yang lebih panjang daripada biasa dan gaya persembahannya berbeza.

Kami percaya, pembaca yang menatap Sinar Ahad akan menyukainya dan sekaligus jatuh hati kepadanya! - Pengarang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!